Harga minyak susut pada hari Isnin menjelang keputusan mesyuarat dasar Fed yang akan diumumkan pada awal pagi Khamis ini.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 2.10% kepada AS$73.25 setong manakala minyak mentah WTI susut 2.37% kepada AS$68.50 setong setakat jam 5.05 petang.
Kedua-dua penanda aras mencatatkan penurunan mingguan kedua berturut-turut minggu lalu apabila data ekonomi China yang mengecewakan menimbulkan kebimbangan mengenai pertumbuhan permintaan dalam pengimport minyak mentah terbesar dunia.
Namun begitu, penurunan tersebut dilihat mengimbangi lonjakan harga yang didorong oleh janji Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1 juta tong sehari (bpd) pada bulan Julai .
“Harga minyak terperangkap dalam pertembungan antara dua kuasa yang bertentangan, pengagih aset menurun yang menunjukkan penguncupan monetari dan spekulator minyak menaik menjangkakan inventori lebih rendah pada 2H23,” kata Francisco Blanch dari Bank of America Global Research dalam satu nota.
“Bearish dilihat mengekalkan kelebihan buat masa ini, kerana harga minyak masih bergelut untuk meningkat sehingga Fed menambahkan bekalan wang,” kata Blanch.
Bank of America masih menjangkakan minyak mentah Brent pada purata kira-kira AS$80 setong pada 2023.
Kenaikan kadar Fed telah mengukuhkan dolar AS, menjadikan komoditi dalam denominasi dolar lebih mahal bagi pemegang mata wang lain.
Kebanyakan penganlisis menjangkakan bank pusat AS akan membiarkan kadar faedah tidak berubah apabila ia menamatkan mesyuarat dasar monetari dua hari pada hari Rabu.
“Semua mata kini tertumpu pada dua faktor utama yang akan mempengaruhi arah harga minyak,” kata Sugandha Sachdeva, pengarah eksekutif dan ketua strategi ekuiti, mata wang dan komoditi di Acme Investment Advisors.
“Pertama, bacaan inflasi AS (pada hari Selasa ini) akan dihuraikan dengan teliti oleh para pelabur untuk mencari petunjuk tentang iklim ekonomi secara keseluruhan,” jelasnya.
“Kedua, tinjauan dasar Fed untuk tahun hadapan akan membimbing perjalanan harga minyak,” tambah Sachdeva.