Jepun meningkatkan usaha untuk memperkukuh industri cipnya dengan pendana yang disokong kerajaan bersetuju untuk membeli pembuat bahan semikonduktor JSR Corp pada harga sekitar 909.3 bilion yen (AS$6.4 bilion).
Langkah Jepun Investment Corp (JIC), yang diawasi oleh kementerian perdagangan yang berkuasa, adalah yang terbaru dalam siri langkah kerajaan bagi mengukuhan usaha untuk mengembalikan Jepun sebagai peneraju dalam pengeluaran cip termaju.
Selain itu, tindakan JIC tersebut juga bertujuan mengekalkan kelebihan mereka sebagai pembuat bahan dan alat yang digunakan dalam pembuatan semikonduktor.
JIC merancang untuk melancarkan tawaran tender pada akhir Disember sebanyak 4,350 yen sesaham, premium 35 peratus kepada harga penutup hari Jumaat, untuk menswastakan JSR.
Bank Mizuho dan Bank Pembangunan Jepun (DBJ) yang disokong kerajaan akan menyediakan pembiayaan tersebut.
“Keupayaan di sini adalah sangat istimewa, tetapi bilangan kami ramai dan kami semua membelanjakan wang secara berlebihan, jadi kami merasakan peluang untuk peningkatan kecekapan adalah penting,” kata Ketua Pegawai Eksekutif JSR Eric Johnson pada sidang akhbar.
Johnson berkata beliau berhasrat untuk menyenaraikan semula syarikat itu dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.
Perjanjian itu dibuat di tengah-tengah ketegangan yang semakin mendalam antara Amerika Syarikat dan China ketika pentadbiran Presiden Joe Biden membina kapasiti pembuatan cip domestik.
JSR ialah pembekal utama photoresists, iaitu bahan kimia sensitif cahaya yang digunakan untuk menggores corak pada wafer.
“Jepun mempunyai monopoli, dengan China dan yang lain masih belum membangunkan teknologi ini,” kata Kazuhiro Sugiyama, pengarah perunding di firma penyelidikan Omdia.