Dyson Ltd. yang berpangkalan di Singapura, pencipta pembersih hampagas tanpa beg, merancang untuk melabur 11 bilion peso (AS$193.5 juta) dalam sebuah kilang baharu di Filipina, kata pejabat Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat ketika Marcos berada di Singapura selepas pertemuan bersama pegawai Dyson, kata kenyataan itu.
Syarikat elektronik pengguna itu telah membuat keputusan pada awal tahun ini untuk menambah lagi pelaburan dalam negara Asia Tenggara itu, di mana ia sudah mempunyai kilang mengeluarkan motor elektrik, kata Marcos.
Pelaburan baharu tersebut akan meliputi kilang baharu, penyelidikan dan pembangunan, pengembangan kakitangan dan perisian yang diperlukan oleh Dyson dalam tempoh dua tahun akan datang, jelasnya.
Marcos juga berkata pelaburan Dyson akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada jurutera perisian Filipina.
Pada 2020, Dyson mengumumkan pelan pelaburan global bernilai $4.9 bilion dolar Singapura atau AS$3.59 bilion) yang akan dibahagikan antara ibu pejabat global syarikat di Singapura, dua kampusnya di Wiltshire, selatan England dan Filipina.