Pengawal keselamatan tidak mempunyai kuasa atau hak untuk meminta, memegang atau mengimbas kad pengenalan (MyKad) milik orang lain, tegas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dalam kenyataan kepada Bernama, JPN menjelaskan bahawa hanya lima kategori pegawai yang dibenarkan berbuat demikian di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Kategori tersebut ialah pegawai JPN, pegawai polis, pegawai kastam, anggota tentera yang sedang bertugas, serta penjawat awam yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara.
“Tindakan pengawal keselamatan yang meminta atau menyimpan kad pengenalan adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” kata jabatan itu.

JPN turut menegaskan bahawa penggunaan peranti elektronik untuk mengimbas data MyKad juga tidak dibenarkan kerana ia tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Sebarang pemprosesan data peribadi oleh pihak swasta adalah tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang menetapkan garis panduan dan tanggungjawab untuk melindungi maklumat peribadi seseorang,” jelas JPN.
Bernama menghubungi jabatan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut, susulan satu hantaran tular di media sosial baru-baru ini mengenai seorang pengawal keselamatan yang didakwa menggunakan peranti elektronik untuk mengimbas MyKad.
Tindakan pengawal keselamatan itu telah menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai kesahihannya dari segi undang-undang.
Sebagai langkah keselamatan, JPN menasihatkan orang ramai supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu yang tidak diberi kuasa, dan segera melaporkan sebarang pelanggaran.