Ford menghentikan sementara operasi di kilang bateri utama di negeri Michigan AS, hanya tujuh bulan selepas melancarkan projek itu dengan rakan kongsi dari China.
Penghentian itu, yang disahkan oleh wakil Ford berlaku ketika syarikat menghadapi mogok besar bersama-sama “Tiga Gergasi” pembuat kereta AS yang lain, Stellantis dan General Motors.
Jurucakap Ford menegaskan keputusan mengenai kilang bateri bernilai AS$3.5 bilion itu tidak berkaitan dengan mogok yang berterusan, sebaliknya daya maju ekonomi masa depan kawasan itu.
“Kami menghentikan kerja dan mengehadkan perbelanjaan untuk pembinaan projek Marshall sehingga kami yakin tentang keupayaan kami untuk mengendalikan kilang itu secara kompetitif,” kata jurucakap Ford.
“Kami belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai pelaburan yang dirancang di sana,” tambahnya.
Pada Februari yang lalu, Ford mengumumkan projek di Marshall, Michigan sebagai satu cara untuk mempelbagaikan profil baterinya daripada penggunaan eksklusif semasa nikel kobalt mangan (NCM), yang masih mahal beikutan kekurangan bahan mentah.
Ford berkata ia akan bekerjasama dengan syarikat China Contemporary Amperex Technology untuk mengeluarkan bateri fosfat besi litium bermula pada 2026 di kilang Marshall tersebut.
Walaupun mendapat bantahan Republikan, teknologi itu dikatakan melibatkan bahan mentah yang lebih murah dan boleh bertolak ansur dengan pengecasan yang lebih kerap dan lebih pantas daripada bateri NCM.