Permainan video berasaskan siri animasi Upin & Ipin dilancarkan bulan ini

Boboi CTC
2 Min Read

Selepas penantian yang lama, rakyat Malaysia akhirnya bakal berpeluang menerokai Kampung Durian Runtuh dan dunia luas siri animasi kesayangan Upin & Ipin menerusi permainan konsol yang dijadual dilancarkan pada 17 Julai ini. Permainan bertajuk Upin & Ipin Universe ini dibangunkan hasil kerjasama antara Les’ Copaque Productions dan pembangun permainan tempatan, Streamline Studios, menggunakan enjin grafik ‘Unreal Engine 5’.

Upin & Ipin Universe akan menampilkan watak-watak utama Upin dan Ipin serta rakan-rakan mereka seperti Mei Mei, Ehsan, Jarjit, Mail dan lain-lain, dengan lakonan suara penuh dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Malaysia. Bagi ibu bapa yang bimbang, halaman rasmi permainan di Steam mengesahkan bahawa permainan ini tidak mengandungi unsur pertempuran atau transaksi mikro, menjadikannya sesuai untuk semua peringkat umur.

Barisan pelakon suara asal daripada siri animasi juga akan kembali memegang watak masing-masing dalam permainan ini.

Walaupun jalan cerita permainan adalah tidak berkait dengan siri animasi asal, pemain turut diberikan kebebasan untuk menyertai pelbagai aktiviti sampingan dan minigame berunsur tempatan seperti bertani, memasak, menangkap serangga, perlumbaan kereta kawalan jauh dan permainan gasing.

Sedutan permainan video ‘Upin & Ipin Universe’.

Dalam satu temu bual bersama LifestyleTech pada Julai lalu, Pengarah Kandungan Kreatif Les’ Copaque, Nur Naquyah Burhanuddin, mendedahkan bahawa jika permainan ini berjaya, pasukan pembangun merancang untuk memperluaskan kandungan permainan pada masa hadapan.

Penambahan itu mungkin termasuk ciri penyesuaian watak serta mod berbilang pemain. Semasa pelancaran, permainan ini tidak memerlukan sambungan Internet untuk dimainkan selepas dimuat turun.

Upin & Ipin Universe akan dilancarkan pada platform PlayStation 4, PlayStation 5, Nintendo Switch, Steam, dan Epic Games Store pada 17 Julai. Harga tempatan belum diumumkan setakat artikel ini ditulis, namun di Nintendo Store permainan ini disenaraikan pada harga AS$39.99 (sekitar RM169).

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *