Pasukan Asean All-Stars mencipta kejutan besar apabila menewaskan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, 1-0 dalam perlawanan Piala Cabaran Maybank yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Pemain sayap Maung Maung Lwin, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada separuh masa kedua untuk menundukkan juara liga Inggeris 13 kali itu.
Manchester United yang beraksi buat pertama kali di Malaysia sejak 2009, menurunkan gabungan pemain berpengalaman dan muda termasuk Andre Onana, Harry Maguire, Casemiro, Diogo Dalot, Manuel Ugarte dan Rasmus Hojlund.
Onana menjadi kegemaran penonton apabila namanya dilaungkan setiap kali beliau menyentuh bola.
United menguasai permainan pada separuh masa pertama, namun kedua-dua pasukan saling menguji pertahanan masing-masing, dengan skuad Asean All-Stars menunjukkan bahawa mereka tidak gentar menghadapi lawan yang lebih ternama.
Pemain Filipina, Amani Aguinaldo hampir meletakkan pasukan Asean di hadapan pada minit ke-16 tetapi percubaannya tersasar tinggi, manakala tandukan Maguire hasil sepakan sudut diselamatkan penjaga gol Asean All-Stars, Patiwat Khammai pada minit ke-24.
Tiga minit kemudian, penyokong tempatan bersorak apabila Onana membuat satu lagi penyelamatan cemerlang dari jarak dekat menafikan cubaan Sandro Reyes dari Filipina, manakala Patiwat terus diuji sehingga tamat separuh masa pertama dengan percubaan berterusan dari pemain muda United, Kobbie Mainoo.
Memasuki separuh masa kedua, United cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan kapten pasukan Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho dan Amad Diallo untuk memburu jaringan pembukaan.
Namun, sebaliknya berlaku apabila Asean All-Stars melakukan serangan balas menerusi hantaran Adrian Segecic kepada Maung Maung Lwin di sebelah kanan, yang tenang menyempurnakan peluang menewaskan penjaga gol gantian United, Thomas Heaton pada minit ke-71.
Sorakan hampir 72,000 penonton membingitkan stadium sejurus gol itu dijaringkan.
Walaupun United berusaha keras untuk mencari gol penyamaan, mereka gagal menembusi gawang lawan dan perlawanan berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak kepada Asean All-Stars.
United dijadualkan meneruskan jelajah pramusim mereka ke Hong Kong dan akan menentang pasukan kebangsaan negara itu pada 30 Mei di Stadium Hong Kong.