Mahkamah memutuskan bahawa Sean “Diddy” Combs tidak bersalah atas tuduhan menjalankan sindiket jenayah bersama kakitangan serta pemerdagangan seks bekas teman wanitanya. Mogul hip-hop yang tercemar reputasinya itu jatuh melutut dan menekup wajah di kerusi meja pembelaan, selepas menjalani perbicaraan selama dua bulan atas tuduhan pemerdagangan seks dan jenayah terancang (racketeering).
Sebelum keputusan diumumkan, Combs duduk diam dengan pandangan ke hadapan, mengenakan pakaian serba putih yang sering dipakainya sepanjang perbicaraan. Suasana menjadi hening apabila ketua juri menyerahkan kertas keputusan kepada timbalan mahkamah, sebelum ia dikembalikan untuk dibacakan.
Apabila perkataan “tidak bersalah” kedengaran buat pertama kali (membebaskan Combs daripada tuduhan paling berat iaitu jenayah terancang) beliau masih menundukkan kepalanya. Ketika keputusan tidak bersalah bagi pertuduhan pemerdagangan seks diumumkan, Combs sudahpun menekup mukanya dengan kedua-dua tangan.
Walaupun begitu, juri mendapati Combs bersalah atas tuduhan yang kurang berat, iaitu membawa individu untuk tujuan pelacuran. Sewaktu keputusan itu dibacakan, Combs terus menundukkan wajahnya.
Terdapat sedikit sorakan kegembiraan dari pihak Combs, yang telah dipenjarakan di sebuah penjara persekutuan di Brooklyn sejak September lalu. Beliau memberi isyarat berdoa kepada juri dan kemudian kepada ahli keluarganya termasuk anak kembar, anak lelaki dan ibunya yang berusia 85 tahun.

Detik itu juga penuh emosi buat pasukan peguamnya, termasuk Teny Geragos yang dilihat mengesat air mata selepas keputusan dibacakan.
Peguam Combs pantas memohon agar beliau dibebaskan serta-merta memandangkan beliau telah dibebaskan daripada tuduhan paling serius. Peguamnya, Marc Agnifilo, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak perlu lagi ditahan dan pesawat peribadi beliau berada di Maui.
“Juri ini telah mengembalikan hidup Encik Combs,” katanya. “Beliau tidak akan melanggar sebarang arahan mahkamah.”
Combs kemudian menundukkan kepala ke kerusi sebagai tanda kesyukuran, sebelum bangkit dan bertepuk tangan serta memeluk beberapa peguamnya. Ahli keluarga dan penyokong di mahkamah utama serta bilik limpahan turut bersorak dan bersatu meraikan keputusan itu.
Beliau sempat memberikan pelukan terakhir kepada peguam dan melambaikan tangan kepada keluarganya sebelum dibawa keluar dari mahkamah. Namun harapannya untuk pulang terbantut apabila Hakim Arun Subramanian menolak permohonan jaminan dalam satu lagi sesi perbicaraan pada sebelah petang.
Di luar mahkamah Manhattan, orang ramai bersorak “bebaskan Diddy” di sebalik penghadang keselamatan. Combs akan terus ditahan sehingga tarikh hukuman dijatuhkan lewat tahun ini.