Harga emas melonjak sehingga mencecah USD3,875.53 seauns, melepasi paras tertinggi yang dicapai pada Selasa, susulan kebuntuan politik di Washington. Jika Demokrat dan Republikan gagal mencapai kata sepakat menjelang tengah malam bagi membiayai operasi persekutuan, ia bakal mencetuskan penutupan kerajaan pertama dalam hampir tujuh tahun. Ini sekali gus boleh melambatkan penerbitan data ekonomi penting termasuk laporan pekerjaan bukan perladangan pada Jumaat.
Sepanjang tahun ini, harga emas telah meningkat lebih 47%, meletakkannya di landasan untuk mencatat keuntungan tahunan terbesar sejak 1979. Lonjakan ini dipacu oleh pembelian besar-besaran bank pusat serta peningkatan pegangan dalam dana dagangan bursa (ETF) bersandarkan emas, ketika Rizab Persekutuan (Fed) kembali melaksanakan pemotongan kadar faedah. Menurut data Bloomberg, aliran masuk ETF pada September adalah yang tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Pada Selasa, Presiden Fed Boston, Susan Collins, berkata pemotongan kadar tambahan mungkin wajar tahun ini memandangkan kelemahan pasaran buruh, namun pihak berkuasa perlu berhati-hati terhadap risiko inflasi berpanjangan. Sementara itu, Naib Pengerusi Fed, Philip Jefferson, memberi amaran bahawa bank pusat berdepan pasaran buruh yang perlahan bersama tekanan inflasi yang meningkat, menjadikan unjuran ekonomi semakin rumit.
Harga emas spot naik 0.3% kepada USD3,872.21 seauns pada 10.12 pagi di Singapura, selepas ditutup 0.7% lebih tinggi pada Selasa. Indeks Dolar Bloomberg kekal mendatar. Perak turut meningkat 1.7% kepada USD47.4317 seauns selepas jatuh 0.6% dalam sesi sebelumnya. Platinum dan paladium juga mencatat kenaikan.
