Kenapa harga emas dijangka akan terus naik pada 2025?

Aina Julia
3 Min Read

Goldman Sachs menjangkakan harga emas boleh melonjak setinggi $3,880 per auns pada tahun 2025.

Setakat 26 Mei, harga emas telah meningkat sebanyak 27% kepada $3,351 per auns. Ini mengatasi prestasi pasaran saham dan juga Bitcoin tahun ini. Ramai penganalisis percaya fenomena “demam emas” 2025 masih belum berakhir.

Goldman Sachs baru-baru ini menaikkan sasaran harga emas kepada $3,700 menjelang akhir 2025, iaitu tambahan 10% daripada kenaikan tahun-ke-tarikh (YTD) sebanyak 27%.

Dalam tempoh 12 bulan akan datang, pakar strategi di JP Morgan pula meramalkan harga emas mungkin mencapai $4,000 per auns menjelang suku kedua 2026.

Emas dilihat sebagai aset perlindungan (safe haven) oleh pelabur, terutamanya ketika kemelesetan ekonomi atau ketidaktentuan pasaran saham. Sepanjang empat bulan pertama 2025, dua faktor ini telah mendorong kenaikan harga emas.

Namun sejak pertengahan April, pasaran saham mula pulih, menyebabkan harga emas turun daripada paras tertinggi sepanjang masa (all time high) sekitar $3,433 pada 6 Mei kepada kira-kira $3,200. Ini terjadi selepas China dan AS bersetuju menangguhkan perang perdagangan selama 90 hari.

Selepas itu, harga emas kembali meningkat, dipacu oleh beberapa faktor termasuk ketidaktentuan belanjawan persekutuan AS, rundingan tarif dengan Eropah yang tidak menunjukkan kemajuan. Serta kenyataan Presiden Donald Trump yang mencadangkan tarif 50% ke atas EU.

Bank Pusat Meningkatkan Pembelian Emas

Selain faktor ekonomi dan ketidaktentuan pasaran, Goldman Sachs turut menyatakan permintaan tinggi daripada bank pusat sebagai penyumbang utama kenaikan harga emas.

Bank-bank pusat di seluruh dunia memiliki sekitar $12 trilion rizab tukaran asing, digunakan untuk menstabilkan mata wang dan melindungi daripada inflasi. Sejak pembekuan aset Rusia di Eropah, pembelian emas oleh bank pusat meningkat dengan ketara.

Menurut analisis terkini Goldman Sachs bertajuk ‘Why Gold Prices Are Forecast to Rise to New Record Highs‘, pembelian emas oleh bank pusat di pasaran over-the-counter London meningkat lima kali ganda sejak 2022.

Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan Itali kini menyimpan lebih 70% rizab mereka dalam bentuk emas. Negara-negara membangun juga dilihat sedang mengejar dengan meningkatkan pegangan emas masing-masing.

“Bank pusat secara struktur telah mewujudkan lantai harga yang lebih tinggi dengan mengurangkan bekalan emas di pasaran,” kata Lina Thomas, pakar strategi komoditi di Goldman Sachs. “Akibatnya, walaupun berlaku pembetulan harga, paras terendah baharu kini lebih tinggi berbanding minggu-minggu sebelumnya.”

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *