PT Garuda Indonesia menjangkakan untuk memperoleh sebanyak AS$1.44 bilion (RM6.07 bilion) dalam bentuk tunai daripada dana kekayaan negara bagi mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat penerbangan milik kerajaan yang sedang bergelut itu.
Menurut pemfailan di bursa saham, Garuda akan memohon kelulusan pemegang saham pada 12 November untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada PT Danantara Asset Management (cabang kepada dana kekayaan negara Danantara) melalui penempatan saham secara persendirian. Syarikat itu juga telah mencapai persetujuan untuk menukar pinjaman bernilai AS$405 juta daripada Danantara, yang merupakan pemegang saham majoriti Garuda, kepada saham tambahan.

Pelan penempatan saham tersebut “mengambil kira keperluan mendesak untuk menambah baik kedudukan kewangan syarikat, serta keperluan segera bagi mendapatkan dana bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan operasi syarikat serta anak-anak syarikatnya,” menurut pemfailan berkenaan.
Pengurusan baharu Garuda yang dilantik Danantara juga merancang untuk memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa dan membeli sehingga 75 pesawat keluaran Boeing Co.
Garuda terus berdepan kesukaran kewangan sejak pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan sektor penerbangan global. Kerugian bersih syarikat itu meningkat sebanyak 41% tahun ke tahun kepada AS$143.7 juta bagi separuh pertama tahun ini.
