Harga patty burger kegemaran ramai keluaran Ramly dijangka naik bermula 7 Julai ini.
Spekulasi di media sosial menyebut kenaikan harga itu berpunca daripada peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) oleh kerajaan. Namun, notis rasmi mengenai penyelarasan harga tersebut sebenarnya telah dikeluarkan oleh Ramly Food Marketing Sdn Bhd kepada para peniaga seawal 14 April. Tiga bulan sebelum SST baharu dilaksanakan.
Perbincangan mengenai kenaikan harga itu tercetus selepas satu hantaran Facebook tular minggu lalu.
Seorang pengguna Twitter bernama Syahir menjelaskan bahawa kenaikan harga patty Ramly disebabkan oleh peningkatan kos bahan mentah, bukan SST. Dalam ciapannya, beliau menyertakan imej notis daripada Ramly mengenai kemas kini harga bermula 7 Julai.
“Notis kenaikan harga produk Ramly kepada pemborong, peruncit dan pasaran telah dikeluarkan pada 14 April 2025, iaitu hampir tiga bulan sebelum SST diperluas,” tulisnya.

Beliau menambah bahawa Ramly turut menjelaskan kenaikan harga berpunca daripada peningkatan kos bahan mentah yang tidak dapat dielakkan. Ini berkemungkinan termasuk kos import daging lembu dari India yang semakin tinggi.
Syahir juga menyebut bahawa Ramly sudah beberapa kali menaikkan harga sebelum ini, antaranya pada tahun 2013, 2016, dan 2022. “Cuba Google, pasti jumpa notis-notis kenaikan harga dari Ramly dan peniaga burger,” katanya.
Secara ringkasnya, kenaikan harga ini berlaku di peringkat pengeluar, dan berkemungkinan besar peniaga akan turut menaikkan harga burger yang dijual kepada pengguna.
Syahir turut menjelaskan bahawa Ramly tidak dihalang untuk menaikkan harga kerana produk makanan terproses seperti patty burger dan sosej bukanlah barangan kawalan kerajaan.
Seperti sedia maklum, barangan keperluan asas harian seperti daging dan ayam dikecualikan daripada cukai SST yang diperluaskan. Ini bermaksud, kenaikan harga produk Ramly adalah sepenuhnya disebabkan oleh kos bahan mentah yang meningkat, bukan akibat cukai.