Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Pos Malaysia bagi memastikan perkhidmatan pos terus dapat disampaikan kepada masyarakat di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Beliau berkata, dana yang disalurkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bertujuan untuk memperkukuh serta memodenkan sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi digital dan perdagangan elektronik.
“Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun kita berbicara tentang perkembangan e-dagang dan ekonomi digital, hubungan antara manusia masih diperkukuh melalui penghantaran surat dan bungkusan,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia di Pusat Mel Nasional Pos Malaysia, di sini.
Menurut Fahmi, dana tersebut akan membantu Pos Malaysia menyampaikan perkhidmatan penting di kawasan yang kurang menguntungkan secara komersial, selain memastikan rangkaian penghantaran ke kawasan terpencil terus terjamin.

“Setiap negara mempunyai satu entiti yang diberi tanggungjawab memastikan surat dan bungkusan sampai ke seluruh pelusuk negara. Di Malaysia, tanggungjawab itu terletak pada Pos Malaysia,” katanya.
Fahmi turut mendedahkan bahawa MCMC telah menerima lebih 4,000 aduan berkaitan perkhidmatan kurier dari 1 Januari hingga 15 September tahun ini, di mana antara 50% hingga 60% daripadanya melibatkan isu kelewatan penghantaran. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tiada satu pun aduan yang diterima terhadap Pos Malaysia.
“Pos Malaysia masih mengekalkan penghantaran tepat pada masanya,” katanya sambil menambah bahawa syarikat itu mencatat kadar kepuasan pelanggan sebanyak 91%, berbanding 82% bagi keseluruhan sektor kurier.
Beliau juga memaklumkan bahawa Pos Malaysia kini menjalankan ujian penghantaran surat secara berselang hari sebagai sebahagian daripada pelan transformasinya, bagi menyesuaikan diri dengan penurunan jumlah surat tradisional dan peningkatan mendadak penghantaran bungkusan akibat pertumbuhan e-dagang.
