Boeing perlu membayar denda sebanyak 1.1 Bilion USD berhubung tragedi 737 Max

Aina Julia
2 Min Read

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada hari Jumaat memaklumkan bahawa mereka telah mencapai perjanjian dengan syarikat pembuat pesawat kemersial Boeing. Ini bagi mengelakkan pendakwaan jenayah berhubung dua insiden nahas maut melibatkan pesawat 737 Max.

Menurut satu pemfailan mahkamah yang dibuat pada hari yang sama. Pemfailan itu secara rasmi mengesahkan cadangan yang telah dilaporkan kepada umum minggu lalu, namun perjanjian tersebut masih memerlukan kelulusan daripada hakim sebelum boleh dikuatkuasakan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dikenali sebagai “perjanjian tanpa pendakwaan” (non-prosecution agreement), Boeing bersetuju untuk membayar lebih daripada AS$1.1 bilion dalam bentuk denda, memperkukuh program keselamatan dan pematuhan syarikat, serta menyediakan bayaran pampasan kepada keluarga mangsa nahas, menurut jurucakap DOJ.

“Perjanjian ini menjamin pertanggungjawaban yang lebih besar dan faedah ketara daripada Boeing dengan segera” jelas jabatan itu dalam pemfailan tersebut.

Jika diluluskan, perjanjian ini akan menamatkan satu kes panjang dan penuh kontroversi terhadap syarikat penerbangan itu. Boeing sebelum ini berdepan tuduhan penipuan atas dakwaan menipu Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) semasa proses pensijilan awal pesawat 737 Max.

DOJ dan Boeing kemudiannya mencapai penyelesaian “penangguhan pendakwaan” ke atas tuduhan yang sama. Penangguhan tersebut sepatutnya memberi laluan kepada Boeing untuk mengelak daripada pendakwaan jenayah sepenuhnya.

Namun, pada Januari 2024, hanya beberapa hari sebelum tempoh percubaan tiga tahun perjanjian asal tamat. Satu kejadian berlaku apabila penutup pintu tercabut dari sisi sebuah pesawat 737 Max milik Alaska Air semasa dalam penerbangan.

Walaupun tiada kematian dalam kejadian itu, ia membuka ruang kepada DOJ untuk menyambung semula prosiding jenayah terhadap syarikat tersebut. Boeing kemudiannya bersetuju untuk mengaku bersalah pada Julai, namun hakim persekutuan yang mendengar kes itu menolak pengakuan tersebut.

“Tiada apa yang boleh menggantikan kehilangan mangsa, Tetapi penyelesaian ini memastikan Boeing bertanggungjawab secara kewangan, memberikan penamat dan pampasan kepada keluarga mangsa. Serta memberi kesan positif terhadap keselamatan penumpang udara di masa hadapan,” tambah jurucakap itu.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *