Syarikat China, INV New Material Technology (M) Sdn Bhd, telah melancarkan kemudahan pembuatan bernilai RM3.2 bilion di Pulau Pinang. Ia menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab utama kenderaan elektrik (EV) di Asia Tenggara.
Kilang tersebut, yang menghasilkan pemisah bateri litium-ion, merupakan kemudahan komersial pertama seumpamanya di negara ini. Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar terbesar komponen penting EV ini di rantau ini.
Kemudahan baharu ini akan mengeluarkan sebanyak 1.3 bilion meter persegi pemisah bateri litium-ion yang diproses secara basah dan disalut khas.
Kemudahan ini juga berperanan sebagai platform pemindahan teknologi dan pengetahuan. Ia membolehkan bakat tempatan memperoleh pendedahan praktikal kepada peralatan canggih, program latihan berstruktur, dan kerjasama dengan pakar global.

Pendekatan menyeluruh ini secara signifikan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang bahan termaju dan plastik kejuruteraan. Malah bakal membina barisan bakat bersedia masa depan yang penting untuk pertumbuhan jangka panjang negara dalam sektor EV dan teknologi tinggi.
Kilang ini turut menetapkan penanda aras dalam penggunaan Industri 4.0 dengan menggabungkan automasi canggih, sistem pembuatan pintar, dan teknologi digital bagi memaksimumkan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelancaran kilang tersebut adalah langkah transformatif dalam perjalanan negara menuju industri EV.
Menurutnya, pelaburan ini, yang sejajar dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 serta Peta Hala Tuju Industri Kimia 2030. Ia akan mengisi jurang penting dalam ekosistem EV tempatan dan mengintegrasikan bahan termaju ke dalam rantaian bekalan negara.
“Ia menetapkan standard baharu untuk pembuatan berteknologi tinggi. Di samping itu turut mencetuskan pertumbuhan industri yang lebih luas serta menarik lebih banyak pemain global dan tempatan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai EV global,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif INV New Material Technology, Liu Rui pula berkata, kilang tersebut bukan sekadar pelaburan, malah mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap kelestarian, inovasi dan pembangunan bakat.
“Malaysia menawarkan kelebihan strategik, tenaga kerja berbakat, dan sokongan kerajaan yang diperlukan untuk menjadikan visi ini satu kenyataan, dan kami berbangga menjadikan negara ini sebagai lokasi pertama kami di rantau Asean,” katanya.