Nvidia rancang untuk melabur AS$1 bilion dalam Nokia Oyj

Rio Boestamam
3 Min Read

Nvidia Corp merancang untuk membuat pelaburan ekuiti bernilai AS$1 bilion (RM4.2 bilion) dalam Nokia Oyj, ketika gergasi cip AI itu bertaruh pada usaha syarikat Finland tersebut untuk beralih daripada perniagaan rangkaian mudah alih kepada kecerdasan buatan.

Menurut kenyataan bersama pada Selasa, Nokia akan mengeluarkan kira-kira 166 juta saham kepada Nvidia pada harga AS$6.01 sesaham, memberikan Nvidia pegangan sebanyak 2.9%. Cip pemprosesan Nvidia akan digunakan untuk mempercepatkan perisian 5G dan 6G Nokia, manakala kedua-dua syarikat akan meneroka cara menggunakan teknologi pusat data Nokia dalam infrastruktur AI Nvidia.

Nokia, yang terkenal sebagai pembekal peralatan rangkaian mudah alih, kini sedang mengembangkan perniagaannya ke bidang pusat data. Di mana ia adalah sektor yang semakin berkembang akibat peningkatan permintaan terhadap kapasiti pengkomputeran yang didorong oleh ledakan AI. Langkah ini telah membuahkan hasil, membantu Nokia mengatasi jangkaan Wall Street pada suku lalu. Awal tahun ini, syarikat berpangkalan di Espoo, Finland itu membeli Infinera Corp dengan nilai AS$2.3 bilion bagi memperluas produk rangkaian untuk pusat data AI.

Nvidia turut melabur dalam pelbagai syarikat berasaskan AI yang lain seperti Wayve baru-baru ini.

Saham Nokia melonjak sehingga 17% di Bursa Helsinki selepas pengumuman itu, peningkatan harian terbesar sejak tahun 2013.

Kerjasama ini dijangka memberi dorongan kepada jenama Nokia, yang masih lebih dikenali dalam kalangan pengguna sebagai pengeluar telefon bimbit. Ketua Pegawai Eksekutif Justin Hotard kini sedang memimpin usaha pemulihan syarikat tersebut, dengan menekankan kedudukan Nokia sebagai satu-satunya alternatif Barat kepada Huawei Technologies Co dalam membekalkan rangkaian komunikasi lengkap, daripada radio 5G hingga kabel gentian optik.

Nvidia pula giat menjalankan pelbagai pelaburan besar dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Syarikat itu mengumumkan rancangan untuk melabur sehingga AS$100 bilion dalam OpenAI, selain membiayai syarikat kenderaan autonomi seperti Wayve dan Oxa, syarikat fintech Revolut serta beberapa firma AI seperti PolyAI. Bloomberg News turut melaporkan bahawa Nvidia akan melabur dalam sebuah pusat data di Jerman bersama Deutsche Telekom AG.

Dalam masa yang sama, pembuat dasar dan eksekutif teknologi Eropah semakin giat menyeru agar blok tersebut membangunkan ekosistem AI sendiri bagi menyaingi Amerika Syarikat dan China. Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, bersama pemimpin industri lain, turut mengkritik Eropah kerana terlalu lambat membangunkan infrastruktur dan sokongan untuk syarikat-syarikat yang ingin menggunakan AI sambil mengekalkan data mereka dalam rantau itu.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *