Bumi dijangka berputar sedikit lebih pantas pada tiga hari berasingan musim panas ini, bermula pada 9 Julai. Perubahan ini akan menyebabkan hari menjadi sedikit lebih pendek, tetapi kesannya terlalu kecil untuk disedari manusia.
Hanya beberapa milisaat akan dikurangkan daripada tempoh 24 jam yang biasanya diambil Bumi untuk melengkapkan satu pusingan penuh (lebih singkat daripada sekelip mata).
Mengapa Kelajuan Putaran Bumi Berubah? Bumi memang berperanan sebagai “penjaga masa” kita, tetapi ia bukanlah sempurna. Secara purata, Bumi mengambil masa 24 jam (86,400 saat) untuk berpusing sepenuhnya pada paksinya. Namun, tempoh ini boleh berubah sebanyak satu atau dua milisaat (0.001 saat) setiap hari.
Salah satu faktor yang mempengaruhi kelajuan putaran Bumi ialah kedudukan bulan. Menurut TimeandDate.com, “Bumi berputar lebih laju apabila kedudukan bulan jauh ke utara atau selatan daripada khatulistiwa.”

Selain itu, kejadian seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, daya pasang surut, struktur geologi bawah tanah dan faktor-faktor lain juga boleh mempercepat atau memperlahankan putaran Bumi. Laporan Popular Mechanics menyebut bahawa perubahan kecil ini boleh menjadi tren jangka panjang.
Sebagai contoh, gempa bumi kuat berukuran 8.9 magnitud yang melanda Jepun pada tahun 2011 mempercepatkan putaran Bumi dan memendekkan hari sebanyak 1.8 mikrosaat (0.0018 milisaat).
Fluktuasi halus dalam kelajuan putaran Bumi mula dikesan sejak tahun 1950-an melalui penggunaan jam atom. Apa-apa jua nilai selain 86,400 saat sehari dikenali sebagai “panjang hari” atau length of day (LOD). Hari paling singkat yang pernah direkodkan ialah pada 5 Julai 2024, apabila Bumi melengkapkan satu pusingan 1.66 milisaat lebih cepat daripada biasa.
