Gabe Newell, pengasas bersama dan CEO Valve (syarikat di sebalik permainan ikonik seperti Half-Life, DOTA 2, dan Counter-Strike, serta platform pengedaran permainan PC terkenal Steam) sudah lama membayangkan masa depan di mana otak manusia lebih terhubung dengan komputer.
Usaha ini bermula lebih sedekad lalu apabila Valve menjalankan kajian bersama pakar psikologi dalaman bagi memahami tindak balas biologi pemain terhadap permainan video. Malah, mereka pernah mempertimbangkan penggunaan sensor di cuping telinga untuk set kepala VR pertama mereka.
Namun, pada tahun 2019, Newell memilih untuk memisahkan projek tersebut daripada Valve dan menubuhkan sebuah syarikat baharu dalam bidang ‘brain-computer interface/BCI’ yang dinamakan Starfish Neuroscience. Kini, Starfish mengumumkan rancangan untuk menghasilkan cip otak pertamanya menjelang akhir tahun ini.
Dalam satu catatan blog pertama syarikat itu, Starfish menjelaskan bahawa produk pertama mereka bukanlah implan penuh. Sebaliknya, ia adalah cip “elektrofisiologi” khas yang direka untuk membaca aktiviti otak (seperti Neuralink yang membolehkan pesakit berinteraksi dengan komputer).
Menurut jurutera saraf Starfish, Nate Cermak, mereka menjangka cip pertama akan siap pada penghujung 2025. Mereka kini sedang mencari rakan kolaborasi untuk membantu aspek seperti penghantaran kuasa tanpa wayar atau pembangunan implan akhir.
Ciri utama cip ini adalah saiznya yang kecil, penggunaan kuasa yang sangat rendah, dan keupayaan untuk mengakses beberapa bahagian otak secara serentak. Cip ini hanya menggunakan 1.1 milliwatt semasa rakaman normal, membolehkan ia berfungsi melalui kuasa tanpa wayar dan bateri.
Spesifikasi cip Starfish:
- Penggunaan kuasa rendah: 1.1 mW semasa rakaman biasa
- Saiz kecil: 2 x 4 mm (dengan jarak pin 0.3 mm)
- Mampu merekod (isyarat spike dan LFP) serta merangsang (denyutan biphasic)
- 32 tapak elektrod, 16 saluran rakaman serentak pada kadar 18.75kHz
- 1 sumber arus untuk rangsangan pada pasangan elektrod yang ditentukan
- Pemantauan impedans dan pengukuran voltan rangsangan terbina dalam
- Pemprosesan data dan pengesanan isyarat dalam cip membolehkan sambungan melalui antara muka tanpa wayar berjalur lebar rendah
- Dibina menggunakan proses fabrikasi TSMC 55nm
Perbandingan dengan Neuralink:
Cip N1 daripada Neuralink mempunyai 1,024 elektrod yang diagihkan pada 64 benang halus yang ditanam dalam otak, menggunakan kira-kira 6 milliwatt kuasa dan memerlukan pengecasan semula bateri secara berkala. Saiz implan penuh Neuralink sekitar 23mm lebar dan 8mm tebal.
Syarikat milik Elon Musk itu dilaporkan telah berjaya menanam cip ini dalam tiga pesakit manusia, walaupun beberapa benang terputus dalam pesakit pertama, namun fungsi asas masih dikekalkan.
Starfish menyatakan bahawa akses kepada beberapa kawasan otak serentak mungkin penting dalam merawat penyakit seperti Parkinson, kerana banyak gangguan neurologi kini dipercayai berpunca daripada masalah komunikasi antara kawasan otak, bukan hanya satu lokasi tunggal.
Selain cip otak, laman web Starfish yang dikemas kini juga menyebut mereka sedang membangunkan:
- Peranti hipertermia berketepatan tinggi untuk memusnahkan tumor dengan haba tertumpu
- Sistem TMS berpanduan robot (stimulasi magnetik transkranial) untuk merawat gangguan seperti kemurungan dan gangguan bipolar
Bagi mereka yang tertanya-tanya bagaimana semua ini berkait semula dengan dunia permainan video, Starfish dan Gabe Newell pernah mendedahkan pada GDC 2019 bahawa ‘brain-computer interface’ mungkin suatu hari nanti membolehkan permainan dikawal terus oleh fikiran. Satu visi masa depan yang semakin hampir dengan realiti.