MR DIY Group (M) Bhd menjangkakan prestasi pendapatannya akan terus disokong oleh asas ekonomi yang stabil pada masa hadapan. Bagi tahun kewangan 2025 (FY25), kumpulan itu mengisytiharkan dividen penuh tahun tertinggi dalam sejarah berjumlah RM758 juta, meningkat 60.3% berbanding tahun sebelumnya, susulan keuntungan bersih sebanyak RM632.69 juta.
Untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q25), keuntungan bersih MR DIY meningkat 11% tahun ke tahun kepada RM163.8 juta. Menurut syarikat itu, peningkatan tersebut didorong oleh strategi promosi yang berdisiplin serta manfaat daripada kos inventori yang lebih rendah hasil pengukuhan nilai ringgit. Pendapatan bagi 4Q25 pula meningkat 9% tahun ke tahun kepada RM1.28 bilion.

Prestasi ini disumbangkan terutamanya oleh pembukaan bersih 121 cawangan baharu serta pertumbuhan jualan kedai sedia ada (like-for-like sales), selain rangsangan daripada musim perayaan, cuti persekolahan dan kempen promosi.
Bagi keseluruhan FY25, keuntungan bersih kumpulan meningkat 11% kepada RM632.69 juta, sebahagian besarnya dipacu oleh penurunan purata kos inventori apabila ringgit mengukuh berbanding yuan China dan dolar Amerika Syarikat. Hasil tahunan FY25 turut meningkat 7% kepada RM4.95 bilion, disokong oleh peluasan rangkaian sebanyak 8.4% kepada 1,556 cawangan.
Jumlah transaksi meningkat 8.2% kepada 197.8 juta, namun nilai purata setiap bakul pembelian mencatatkan penurunan 1.6% berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, kumpulan mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 3.8 sen bagi suku keempat 2025.
