Pasangan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di ‘German Open’

Melur Sejati
1 Min Read

Beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, perlu segera bangkit menjelang kejohanan All England minggu depan selepas mengalami salah satu kekalahan paling mengecewakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Terbuka Jerman pada Khamis. Pasangan pilihan utama kejohanan Super 300 di Mulheim itu dikejutkan oleh beregu Perancis ranking ke-89 dunia, Julien Maio-William Villeger, apabila tewas 21-15, 24-22 pada pusingan kedua.

Keputusan tersebut bukanlah persiapan ideal buat juara dunia 2022 itu yang berharap Terbuka Jerman menjadi medan pemanas badan terbaik sebelum memburu kejuaraan sulung All England di Birmingham, selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

Pasangan beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Lebih membimbangkan, kekalahan ini menunjukkan pola prestasi yang kurang konsisten. Bulan lalu, Aaron-Wooi Yik turut tersingkir seawal pusingan pertama Masters Indonesia selepas tewas kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.

Kali terakhir mereka gagal mara melepasi pusingan 16 terbaik dalam dua kejohanan berturut-turut ialah pada Jun dan Julai tahun lalu, apabila tersingkir awal di Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun. Susulan penyingkiran mengejut itu, harapan Malaysia dalam acara beregu lelaki di Mulheim kini digalas pasangan pilihan ketiga, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, selepas Wan Arif Junaidi-Yap Roy King turut tersingkir.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *