Fahmi Zainol, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang berdepan tuduhan keganasan rumah tangga, digantung daripada semua jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kes mahkamah terhadapnya selesai.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti yang diadakan hari ini. Menurut beliau, pihak parti akan memaklumkan penggantungan tersebut kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak kini memegang portfolio Exco Agroteknologi dan Sekuriti Makanan negeri.
Pada Jumaat lalu, Chow dilaporkan berkata Fahmi masih akan menjalankan tugas sebagai Exco kerana beliau dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah. Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Jumaat atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di kediaman mereka di Bayan Lepas kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari.

Sementara itu, Fuziah turut memaklumkan bahawa PKR telah mengambil maklum terhadap maklum balas Rafizi Ramli berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepadanya. Parti itu turut mengingatkan Rafizi supaya mematuhi perlembagaan parti, kod etika serta disiplin parti sebagai tanda kesetiaan kepada PKR.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu sebelum ini menyatakan beliau akan kekal sebagai ahli PKR dan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16.
Beliau turut berkata bahawa selepas Parlimen dibubarkan, beliau berhak menentukan hala tuju politiknya sendiri dan tidak lagi terikat dengan peruntukan berkaitan larangan ahli Parlimen menukar parti ketika penggal Parlimen masih berjalan.
