Seorang menteri akan dipilih untuk memangku sementara tugas-tugas Kementerian Ekonomi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Datuk Seri Rafizi Ramli yang akan meletakkan jawatan secara rasmi sebagai Menteri Ekonomi pada Selasa (17 Jun).
“Saya rasa tiada keperluan untuk rombakan Kabinet ketika ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi.
“Beliau telah menjalankan tugas dengan baik sebagai Menteri Ekonomi.
“Saya kini perlu memutuskan siapa menteri yang akan mengambil alih tanggungjawab tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Energy Asia 2025 di sini pada Isnin (16 Jun).
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat lepas (13 Jun), Rafizi memaklumkan beliau telah ‘clock out’ sebagai Menteri Ekonomi selepas hadir ke pejabat untuk menyelesaikan beberapa urusan dan mengemas barang.
Pada 28 Mei, Rafizi mengesahkan beliau akan bercuti hingga 16 Jun dan telah menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 17 Jun kepada Anwar.
Pada 7 Mei lalu, Rafizi menyatakan kesediaannya untuk meletakkan jawatan dalam parti dan Kabinet sekiranya tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau akan kembali menjadi pemimpin akar umbi dan terus berkempen untuk parti.
Rafizi telah tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti tersebut.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau telah menerima peletakan jawatan Rafizi, Anwar hanya menjawab bahawa tarikh tersebut masih belum tiba.
“Berilah ruang, kenapa tanya jika saya sudah terima.
“Beliau masih bercuti dan tarikhnya belum sampai lagi,” katanya.
Mengenai nasib Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar memaklumkan bahawa tiada keputusan dibuat setakat ini.
“Saya sentiasa menunggu dan beri peluang. Saya telah nyatakan pandangan saya, kalau boleh, beliau patut teruskan (sebagai menteri),” katanya.
Nik Nazmi juga telah menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 1 Julai selepas gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan PKR baru-baru ini.