amazon-india

Amazon Sasar Eksport AS$20 bilion Menjelang 2025 Dari India

Amazon menyasarkan eksport barangan bernilai AS$20 bilion dari India menjelang 2025 dengan menambah ribuan penjual kecil ke platform e-dagangnya, kata Bhupen Wakankar, pengarah perdagangan global Amazon hari ini.

“Kami sangat yakin dengan bilangan usahawan yang mendaftar tahun ini. Kami sedang berusaha untuk berkembang,” jelas Wakankar merujuk kepada rancangan untuk eksport.

Terdapat permintaan yang besar untuk makanan tambahan kesihatan organik “Buatan India”, perkakas rumah seperti tuala mandi, permaidani dan permainan robotik untuk kanak-kanak menjelang jualan Black Friday Cyber Monday, tambahnya.

Dilancarkan pada 2015 dengan penjual yang mencukupi, Amazon Global Trade, platform eksport perniagaan kepada pengguna (B2C) gergasi e-dagang itu, semakin mendapat tarikan di India.

Syarikat itu telah menambah lebih 100,000 pengeluar kecil untuk menjual pelbagai produk kepada pelanggan luar negara, katanya.

“Sesetengah penjual merupakan pengeksport kali pertama, termasuk mereka yang meninggalkan pekerjaan korporat untuk memulakan eksport e-dagang,” ujar Wankankar.

Ribuan pengeksport kecil, yang sebelum ini tidak mempunyai akses kepada pasaran global, telah menyaksikan 70 peratus pertumbuhan perniagaan setiap tahun melalui platform e-dagang, yang menyediakan sokongan logistik dan akses kepada lebih 200 juta ahli Amazon Prime di seluruh dunia.

Pada platform e-dagang, pertumbuhan tertinggi dilihat dalam kategori seperti kecantikan, pakaian, rumah, dapur, perabot dan mainan.

Bagi menggalakkan pengeksport, Wakankar berkata, Amazon telah mengurangkan yuran langganan untuk program jualan globalnya daripada AS$120 kepada AS$1 untuk tiga bulan pertama bagi pengeksport yang mendaftar sebelum 31 Mac.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *