Apple mencapai nilai pasaran melebihi AS$4 trilion selepas pelancaran iphone 17

Boboi CTC
2 Min Read

Apple mencapai nilai pasaran melebihi AS$4 trilion (RM16.8 trilion) buat kali pertama pada Selasa, menjadi syarikat teknologi besar ketiga yang mencapai penanda aras itu, berikutan permintaan kukuh terhadap model iPhone terbaharunya yang meredakan kebimbangan mengenai kelewatan syarikat itu dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI).

Saham Apple meningkat 0.2% kepada AS$269.20 pada awal dagangan, mencatat paras tertinggi sepanjang masa. Sejak pelancaran produk baharu pada 9 September, saham Apple telah naik sekitar 13%, satu pemulihan ketara yang membawa prestasi tahunan syarikat itu ke wilayah positif buat pertama kali tahun ini.

Sebelum ini, saham Apple bergelut akibat persaingan sengit di China serta ketidaktentuan mengenai bagaimana syarikat itu akan menangani tarif tinggi AS terhadap ekonomi Asia seperti China dan India, dua hab utama pengeluaran Apple.

Apple dilaporkan sedang meneroka kerjasama dengan Gemini AI (Alphabet), Anthropic dan OpenAI.

Model telefon pintar terkini termasuk siri iPhone 17 dan iPhone Air berjaya menarik semula pelanggan dari Beijing hingga Moscow dalam beberapa minggu pertama selepas pelancaran, walaupun syarikat menanggung kos tinggi akibat tarif tersebut.

Penganalisis berkata reka bentuk nipis iPhone Air berpotensi membantu Apple menangkis saingan daripada Samsung Electronics, manakala jualan awal iPhone 17 menunjukkan prestasi 14% lebih tinggi berbanding model sebelumnya di AS dan China, menurut data firma penyelidikan Counterpoint.

Firma pembrokeran Evercore ISI menjangkakan permintaan kukuh terhadap iPhone baharu akan membantu Apple mengatasi jangkaan pasaran bagi suku berakhir September dan mengeluarkan unjuran positif untuk suku terakhir tahun ini.

Apple kini menjadi syarikat ketiga mencapai nilai pasaran AS$4 trilion selepas Nvidia dan Microsoft. Nvidia kekal di tangga teratas dengan lebih AS$4.5 trilion. Microsoft pula kembali ke “kelab eksklusif” itu selepas sahamnya naik 2.2% berikutan perjanjian dengan OpenAI untuk menstruktur semula syarikat pembuat ChatGPT itu sebagai korporat manfaat awam.

Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *