Stesen pengecas pantas Tesla Supercharger kini boleh digunakan oleh kenderaan elektrik (EV) bukan Tesla di Malaysia. Bagaimanapun, akses terbuka ini buat masa ini hanya melibatkan empat lokasi dan semuanya terletak di sekitar Lembah Klang.
Lokasi yang terlibat ialah di Shah Alam (i-City Finance Avenue), Pavilion Kuala Lumpur, IOI City Mall di Putrajaya serta Gamuda Cove di Dengkil. Pembukaan ini memberi lebih banyak pilihan pengecasan kepada pemilik EV selain Tesla di kawasan berkenaan.
Dari segi kadar bayaran, pemilik EV bukan Tesla dikenakan caj RM1.80 bagi setiap kWh berdasarkan harga semasa dalam aplikasi. Selain itu, caj kesesakan sehingga RM2.00 seminit boleh dikenakan sekiranya stesen pengecas berkenaan sesak atau melebihi tempoh tertentu.

Tesla Supercharger kebiasaannya menawarkan kuasa pengecasan sehingga 250 kW dan menggunakan penyambung jenis CCS2. Untuk menggunakannya, pengguna perlu memuat turun aplikasi Tesla, mendaftar akaun, memilih lokasi pengecas, menambah kaedah pembayaran, menyambungkan kenderaan dan memulakan sesi pengecasan melalui aplikasi tersebut.
Bagi pemilik Tesla yang turut memiliki EV jenama lain, mereka boleh menggunakan fungsi “Charge Your Other EV” dalam aplikasi sama. Selain itu, syarikat berkenaan turut menganjurkan promosi “Get Supercharged” yang menawarkan peluang memenangi kredit pengecasan bersamaan jarak 1,500 km hanya dengan menyertai peraduan.
Pembukaan rangkaian ini juga memenuhi antara syarat pengecualian Permit Import (AP) yang diterima Tesla di bawah program BEV Global Leaders, iaitu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC berkuasa minimum 180 kW, dengan sekurang-kurangnya 30 peratus daripadanya perlu dibuka kepada orang awam termasuk bagi EV jenama lain.
