Bitcoin capai all time high, melepasi $110,000 buat kali pertama

Aina Julia
3 Min Read

Bitcoin telah melepasi paras AS$110,000 (RM467,775) buat kali pertama, melepasi paras tertinggi baharu. Ini adalah apabila para pedagang semakin optimis terhadap masa depan mata wang kripto utama dunia itu.

Bitcoin melonjak setinggi 2.2% dalam dagangan awal di Asia pada hari Khamis, mencapai AS$110,707 sebelum sedikit menyusut, menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.

Lonjakan ini didorong oleh gelombang keyakinan selepas kemajuan rang undang-undang stablecoin utama di Senat Amerika Syarikat. Di mana ianya meningkatkan harapan terhadap kejelasan peraturan bagi pengendali kripto.

“Peningkatan ini berlaku secara perlahan namun berterusan ke arah paras tertinggi baharu,” kata Joshua Lim, Ketua Bersama Pasaran Global di FalconX Ltd. “Tiada kekurangan permintaan untuk BTC daripada pelaburan SPAC dan PIPE, yang kini jelas menerusi premium pada harga spot Coinbase.”

Syarikat Kecil & Gergasi Teknologi Sertai Gelombang Pembelian

Antara pembeli utama ialah syarikat modal kecil yang kurang dikenali serta firma awam baharu yang diasaskan oleh tokoh industri kripto. Mereka membiayai pembelian bitcoin menggunakan pelbagai instrumen seperti bon boleh tukar, saham keutamaan dan pembiayaan lain.

Salah satu contoh, syarikat sekutu kepada Cantor Fitzgerald LP sedang bekerjasama dengan penerbit stablecoin Tether Holdings SA dan SoftBank Group untuk melancarkan Twenty One Capital Inc — syarikat yang meniru model perniagaan Strategy. Sementara itu, anak syarikat Strive Enterprises Inc yang diasaskan bersama oleh Vivek Ramaswamy, bakal bergabung dengan Asset Entities Inc yang disenaraikan di Nasdaq untuk membentuk sebuah syarikat perbendaharaan bitcoin.

Pasaran Derivatif: Pilihan Panggilan Bernilai Tinggi

Dalam pasaran opsyen, para pedagang membuat pertaruhan besar ke atas bitcoin awal minggu ini, dengan pilihan panggilan (call options) pada AS$110,000, AS$120,000 dan AS$300,000 yang tamat tempoh pada 27 Jun mencatat minat terbuka tertinggi di Deribit, sebuah bursa derivatif utama.

Tony Sycamore, penganalisis pasaran di IG, menyatakan bahawa paras rekod baharu ini membuktikan penurunan mendadak bitcoin dari paras tertinggi sebelum ini pada 20 Januari ke bawah AS$75,000 pada April adalah “pembetulan dalam pasaran kenaikan harga”.

“Untuk melonjak lebih tinggi ke paras AS$125,000, bitcoin perlu mengekalkan penembusan kukuh di atas paras AS$110,000,” katanya.

Kontroversi Politik Berkaitan Bitcoin

Pencapaian terbaru bitcoin ini hadir serentak dengan persiapan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk bertemu pemegang terbesar memecoin miliknya. Pertemuan tersebut akan diadakan dalam satu majlis makan malam di kelab golf beliau berhampiran Washington, Khamis ini.

Acara ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar etika, yang mendakwa ia memberi akses melalui transaksi yang memberi manfaat terus kepada presiden. Ini sekali gus mencetuskan kritikan berkaitan kemungkinan konflik kepentingan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *