Kegiatan ekonomi Malaysia yang pelbagai membolehkan negara menahan risiko daripada pertumbuhan ekonomi China yang lebih perlahan kerana negara itu tidak terlalu bergantung kepada satu rakan perdagangan atau industri tertentu, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour pada hari ini berkata walaupun China adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia, ia hanya menyumbang 13.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
“Walaupun pembukaan semula China kekal menjadi penyokong ekonomi global, kami mengakui bahawa kadar pemulihannya telah perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini,” ujarnya.
“Namun begitu, ekonomi Malaysia mempunyai kepelbagaian yang baik dari segi produk dan rakan perdagangan, justeru ia mampu menampung impak yang datang dari China,” jelas Abdul Rasheed kepada pemberita selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua 2023 hari ini.
Bagaimanapun, Malaysia tetap terjejas dengan kelembapan permintaan global seperti ekonomi serantau yang lain dengan eksport negara merosot pada suku kedua 2023.
“Ini didorong terutamanya oleh barangan perkilangan yang lebih lemah di tengah-tengah kemerosotan dalam kitaran teknologi global dan harga komoditi yang lebih rendah,” kata beliau.
Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan tahun ini, terutamanya disebabkan oleh tekanan kos yang tinggi, kadar faedah tinggi serta kadar barangan yang lebih lemah.
“Pertumbuhan global dijangka berada di bawah purata jangka panjang tetapi kami tidak menjangkakan kemelesetan total,” tambahnya
Namun begitu, pertumbuhan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong dengan baik oleh daya tahan permintaan dalam negeri dan keadaan pasaran buruh yang kukuh.
Lebihan akaun semasa, rizab yang mencukupi dan kadar pertukaran akan membantu Malaysia menyerap kejutan luaran, tegasnya.