bridgestone-russia

Bridgestone Jepun keluar Dari Pasaran Rusia, Jual Aset Kepada S8 Capital

Bridgestone Corp Jepun, salah satu pembuat tayar terkemuka dunia, berkata hari ini bahawa mereka telah menjual aset Rusianya kepada S8 Capital, sebuah syarikat induk Rusia yang kini telah memperoleh segelintir aset daripada firma Barat yang keluar.

Bridgestone, yang memasuki pasaran Rusia sejak 1998, memutuskan pada Mac 2022 untuk menggantung semua aktiviti pembuatan dan membekukan pelaburan baharu di Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, satu langkah yang diambil oleh kebanyakkan syarikat asing lain.

Syarikat yang berpangkalan di Tokyo itu mengutarakan ketidakpastian dan isu bekalan yang berterusan apabila ia mula mencari pembeli pada 2022, berkata kira-kira 1,000 pekerjanya di Rusia akan berpindah ke S8 Capital.

“Perjanjian itu termasuk kilang pembuatan tayar di Ulyanovsk dan pejabat jualan dan pemasaran di Moscow,” kata Bridgestone.

“Impak pemindahan asetnya kepada S8 Capital pada unjuran disatukan untuk 2023 adalah kecil,” jelas mereka.

Rusia mewakili kurang daripada 2 peratus daripada pendapatan Bridgestone pada tahun lalu dan perjanjian itu telah menerima semua kelulusan kawal selia yang diperlukan, katanya.

S8 Capital berkata kilang Ulyanovsk mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 2.4 juta tayar setahun.

Ditambah dengan pembelian aset sebelum ini yang dahulunya dimiliki oleh pembuat tayar Continental dan Cordiant, aset S8 kini akan mempunyai kapasiti pengeluaran lebih daripada 15 juta tayar setiap tahun.

“Menurut syarat perjanjian, tanda dagangan dan jenama Bridgestone tidak dipindahkan kepada pemilik baharu,” kata S8 Capital.

S8 Capital juga telah memperoleh aset yang sebelum ini dimiliki oleh pembuat lif Otis Worldwide Corp dan kumpulan teknologi Jerman Bosch.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *