ev-charge-south-korea

CEO Mercedes: Kecekapan Adalah ‘Mata Wang Baharu’ Dalam Menilai Pasaran EV

CEO Mercedes-Benz Ola Kaellenius memberitahu kepada media seni bina kenderaan elektrik terbaharu mereka yang dilancarkan dengan sedan elektrik kompak CLA lewat tahun depan adalah lebih jimat tenaga.

Mercedes juga akan menawarkan bateri litium-besi-fosfat, atau LFP, dalam barisan model CLA baharu yang akan dilancarkan di bilik pameran pada awal 2025, yang pertama untuk mana-mana Mercedes EV, kata Kaellenius dalam satu temu bual.

Dengan pek bateri LFP, Mercedes boleh menawarkan model berharga rendah dalam segmen kompetitif yang kini dikuasai oleh Tesla. Di China, CLA baharu juga akan menghadapi persaingan daripada jenama EV China yang menggunakan bateri LFP.

Prototaip CLA ialah demonstrasi fizikal strategi Mercedes untuk menutup jurang teknologi dengan Tesla dan pengeluar EV baharu yang lain.

Mendapatkan lebih banyak jarak pemanduan dengan pengunaan tenaga yang lebih rendah daripada bateri adalah sasaran utama untuk pembangunan EV masa depan kami, kata Kaellenius.

“Kecekapan adalah sebuah mata wang baharu apabila kita bercakap tentang kenderaan elektrik,” katanya.

CLA baharu menyasarkan penggunaan kuasa 12 kWj setiap 100 kilometer, dan jarak pemanduan sejauh 750 km.

Peningkatan ini adalah berbanding dengan 17 hingga 18 kWj setiap 100 km dalam model SUV kompak EQA 350 yang ditawarkan Mercedes ketika ini. Model Tesla 3 semasa pula dinilai pada 13.1 kWj setiap 100 km.

Pada tahap kecekapan ini, CLA masa depan haruslah setara dengan kereta yang menggunakan satu liter petrol bagi setiap 100 km pemanduan, kata Kaellenius.

Bagi pengeluar, persaingan sebenar adalah mereka bentuk kenderaan yang boleh memberikan lebih banyak jarak pemanduan dengan pek bateri yang lebih kecil dan lebih murah.

Mengurangkan kos bateri adalah penting kerana Tesla dan jenama EV lain telah melancarkan perang harga untuk mengekalkan pertumbuhan jualan di China, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Apabila anda bercakap tentang kecekapan kereta elektrik, anda mengoptimumkan keseluruhan sistem,” jelas Kaellenius.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *