harrods

PM Qatar: Negara Bertindak Tepat Membeli Gedung Serbaneka Harrods Di London

Perdana Menteri Qatar semalam menegaskan bahawa negara Teluk itu bertindak tepat untuk membeli gedung membeli-belah London Harrods dan berkata tiada rancangan untuk memperkenalkan cukai pendapatan kerana ekonomi masih berjalan dengan baik.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani mengeluarkan kenyataan itu dalam wawancara pertamanya sejak menjadi ketua kerajaan pada 17 Mac lalu.

Beliau bercita-cita menjadikan dana kekayaan negara AS$450 bilion (RM1.98 trilion) sebagai salah satu daripada lima terbesar di dunia.

Sheikh Mohammed Al Thani dalam satu pertemuan yang jarang dilakukan bersama orang awam telah menjawab beberapa persoalan mengenai pembelian asing Pihak Berkuasa Pelaburan Qatar (QIA).

Beliau yang mengetuai QIA telah membeli 17 peratus kepentingan dalam kumpulan kereta Jerman Volkswagen pada 2009 dan dilaporkan membayar AS$1.7 bilion untuk membeli Harrods London pada 2010.

Volkswagen semakin pulih daripada skandal manakala kedai terkenal di London pula terjejas teruk dilanda pandemik sehingga melaporkan kerugian untuk 2020 dan membuang ratusan pekerjaan.

“Harrods dibeli daripada keuntungan pelaburan kami dalam Volkswagen untuk hanya setahun dan nilainya kini lima kali lebih tinggi,” katanya.

“QIA melabur secara dalaman dan luaran, dan misinya adalah untuk mengisi jurang dalam ekonomi,” tambah beliau.

Pembelian asing adalah berdasarkan keputusan “komersial semata-mata” dan bersaing dengan dana kerajaan lain.

Pelaburan Qatar dalam gas asli sejak 1990-an telah menyaksikan negara Teluk itu menjadi salah satu negara terkaya di dunia.

Walaupun menghadapi masalah ekonomi global, Qatar pada tahun lalu mencatat lebihan bajet hampir AS$25 bilion berikutan lonjakan harga gas asli.

“Kami telah mencapai lonjakan ekonomi 38 kali ganda dalam 30 tahun,” kata Al Thani.

Beliau berikrar bahawa sektor tenaga akan semakin menjadi milik tempatan dan negara Teluk, yang dikendalikan oleh keluarga Al-Thani selama lebih 150 tahun, akan terus mempelbagaikan ekonomi untuk menjamin masa depan negera itu.

“Kami telah membuat kemajuan besar dalam (pelbagaian), Qatar bercita-cita untuk menjadi salah satu daripada lima dana berdaulat terbesar di dunia,” tegas beliau.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *