China pada Selasa mengenakan sekatan terhadap lima anak syarikat Amerika milik pembina kapal Korea Selatan, Hanwha Ocean, dengan menuduh mereka menyokong siasatan kerajaan Amerika Syarikat terhadap industri perkapalan, ketika bayaran pelabuhan timbal balas mula berkuat kuasa.
Amerika Syarikat sebelum ini mengumumkan pada April bahawa ia akan mula mengenakan bayaran ke atas semua kapal yang dibina atau dikendalikan oleh China selepas siasatan di bawah “Seksyen 301” mendapati penguasaan Beijing dalam industri tersebut adalah tidak wajar.
Sebagai tindak balas, Beijing minggu lalu memperkenalkan “bayaran pelabuhan khas” terhadap kapal-kapal Amerika yang berlabuh di pelabuhan China. Kedua-dua bayaran dari pihak AS dan China itu mula dikuatkuasakan pada hari Selasa.

Anak syarikat yang dikenakan sekatan ialah Hanwha Shipping LLC, Hanwha Philly Shipyard Inc., Hanwha Ocean USA International LLC, Hanwha Shipping Holdings LLC dan HS USA Holdings Corp.
Kementerian Perdagangan China dalam kenyataannya berkata siasatan serta tindakan susulan oleh AS “telah menjejaskan hak dan kepentingan sah syarikat-syarikat China secara serius”.
Menurut kenyataan itu lagi, anak syarikat Hanwha tersebut “telah membantu dan menyokong aktiviti siasatan kerajaan AS, sekali gus mengancam kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan China”.
Mulai Selasa, semua organisasi dan individu di China dilarang menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut.
