euro-eur-lagarde1

ECB Boleh Naikkan Atau Hentikan Seketika Pengetatan Dasar Pada Mesyuarat Seterusnya

Bank Pusat Eropah (ECB) mampu menaikkan kadar faedah sekali lagi atau berhenti seketika pada mesyuarat seterusnya dan sebarang keputusan akan bergantung kepada data terkini, kata presiden ECB Christine Lagarde.

Bank pusat untuk 20 negara anggota yang menggunakan euro itu telah menaikkan kadar faedah untuk kali kesembilan berturut-turut pada Khamis lalu dalam usaha mereka melawan inflasi yang tinggi.

Namun dalam ulasan selepas pertemuan itu, Lagarde menguatkan jangkaan bahawa ECB akan menghentikan kempen pengetatan dasar bersejarahnya tidak lama lagi, dengan mengatakan beliau berfikiran terbuka tentang keputusan masa hadapan.

Dalam temu bual bersama akhbar harian Perancis Le Figaro yang diterbitkan semalam, beliau menegaskan belum ada keputusan dibuat mengenai perkara yang akan dilakukan ECB pada mesyuarat 14 September ini.

“Saya mendengar beberapa orang mengatakan bahawa kenaikan kadar terakhir akan berlaku pada bulan September,” katanya.

“Mungkin ada kenaikan lagi kadar atau mungkin berhenti seketika. Berhenti itu boleh berlaku bila-bila masa, pada bulan September atau kemudian, tidak semestinya muktamad,” tegasnya.

Hal ini kerana beliau menyebutkan bahawa dasar yang diperkenalkan perlu membawa inflasi kembali stabil kepada sasarannya.

Oleh itu, segala keputusan akan berdasarkan data ekonomi dan kewangan terkini, ujar Lagarde.

ECB dijangka akan mengeluarkan unjuran terbarunya, termasuk pertumbuhan zon euro dan inflasi, pada mesyuarat September ini.

Inflasi telah perlahan namun masih mencecah 5.5 peratus pada bulan Jun, jauh melebihi sasaran dua peratus ECB.

Bagaimanapun terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kesan kenaikan kadar selepas EU tergelincir ke dalam kemelesetan sekitar awal tahun, dengan ekonomi menyusut untuk dua suku berturut-turut.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *