European-Commision-headquarters

EU Tamatkan Langkah Kecemasan Yang Melindungi Pengguna Daripada Krisis Tenaga

Suruhanjaya Eropah hari ini berkata ia telah memutuskan untuk tidak memanjangkan langkah kecemasan yang diperkenalkan pada tahun lalu bagi melindungi pengguna daripada kenaikan harga tenaga.

Hal ini kerana langkah tersebut telah membantu menyumbang kepada menenangkan pasaran elektrik Eropah, jelasnya.

Pada penghujung tahun 2022, Kesatuan Eropah yang dianggotai 27 buah negara berada di tengah-tengah krisis tenaga yang buruk, didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ratusan bilion euro pinjaman telah diluluskan oleh negara anggota bagi menangani krisis itu menerusi pemotongan cukai dan pemberian subsidi.

“Suruhanjaya mengesahkan bahawa ia tidak merancang untuk pemanjangan langkah krisis ini,” katanya dalam satu kenyataan, mengingatkan ia termasuk langkah pengurangan permintaan elektrik, had hasil untuk kilang kuasa dan peraturan penetapan harga runcit.

Mengenai gas, negara-negara Kesatuan Eropah bersetuju pada akhir Mac untuk melanjutkan 12 bulan akan datang, sehingga Mac 2024, satu sasaran sukarela untuk mengehadkan permintaan gas mereka sebanyak 15 peratus.

Suruhanjaya menambah bahawa harga elektrik kini telah menurun kepada kurang daripada 80 EUR/MWj dan harga gas pula bukan sahaja jatuh tetapi juga stabil.

Negara-negara EU melaporkan bahawa mereka secara meluas menghormati sasaran untuk mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 5 peratus pada waktu puncak — satu langkah penting untuk mengurangkan tekanan harga.

Suruhanjaya juga berkata bahawa beberapa aspek langkah kecemasan telah dimasukkan dalam cadangannya untuk pelarasan struktur jangka panjang dalam reka bentuk pasaran elektrik.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *