exxon-mobil

Exxon Dalam Perbincangan Untuk Membeli Gergasi Penggerudi Minyak Syal Pioneer Natural

Exxon Mobil Corp sedang berbincang untuk memperoleh Pioneer Natural Resources Co, lapor Bloomberg mementik sumber yang biasa dengan perkara itu.

Perolehan itu akan menjadi pengambilalihan terbesar Exxon dalam lebih dua dekad dalam usahanya menjadi pengeluar minyak syal AS paling dominan.

Menurut The Wall Street Journal, perjanjian itu mampu mencecah nilai sehingga AS$60 bilion (RM283.11 bilion), dan mungkin diselesaikan dalam beberapa hari hadapan dengan syarat tiada komplikasi.

Dengan saiz itu, perjanjian tersebut berpotensi menjadi yang terbesar di dunia pada tahun ini, mengatasi pengambilalihan gergasi farmaseutikal Pfizer Inc ke atas syarikat pembuat ubat kanser Seagen Inc yang diumumkan pada Mac lalu.

Ia juga akan menjadi pemerolehan terbesar Exxon sejak bergabung dengan Mobil Corp pada 1999, dan akan menjadikan gergasi tenaga itu sebagai pengeluar utama dalam lembangan minyak AS yang paling prolifik.

Walaupun terdapat kemajuan, urus niaga itu masih berisiko gagal, kata sumber tersebut sementara kedua-dua syarikat Exxon dan Pioneer tidak memberi sebarang ulasan tentang “khabar angin pasaran” itu.

Perjanjian dengan Pioneer akan menyatukan dua daripada pemilik keluasan terbesar di Lembangan Permian Texas dan New Mexico, menjadikan Exxon pengeluar terbesar medan minyak itu dengan pengeluaran kira-kira 1.2 juta tong sehari, lebih daripada kebanyakkan negara OPEC.

Ia juga akan memperluaskan inventori Exxon bagi lokasi penggerudian peringkat tertinggi dalam lembangan selama beberapa dekad, menyediakan kos serta risiko yang rendah bagi minyak mentah menjelang 2050.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *