Gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda kawasan perairan di selatan Filipina pada 10 Oktober, menurut agensi seismologi negara itu, dengan amaran tsunami dikeluarkan dan penduduk di kawasan pesisir berhampiran diminta berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Agensi seismologi Filipina, Phivolcs, memberi amaran tentang kemungkinan kerosakan serta gegaran susulan selepas gempa kuat yang berpusat di perairan berhampiran pekan Manay di wilayah Davao Oriental, rantau Mindanao. Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 10 kilometer.
Phivolcs menggesa penduduk di kawasan pantai di bahagian tengah dan selatan Filipina supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke daratan, kerana ombak dijangka boleh mencapai ketinggian melebihi satu meter dari paras pasang surut biasa.

Indonesia turut mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan utara Sulawesi dan Papua, dengan ramalan ombak setinggi 50 sentimeter boleh melanda pantai negara itu. Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat juga mengeluarkan amaran ancaman tsunami, menyatakan bahawa ombak berbahaya mungkin berlaku di pantai dalam lingkungan 300 kilometer dari pusat gempa.
Gabenor wilayah Davao Oriental, Edwin Jubahib, berkata orang ramai panik ketika gempa berlaku. “Beberapa bangunan dilaporkan rosak,” katanya kepada stesen penyiar DZMM. “Getarannya sangat kuat.” Pihak berkuasa tempatan di kawasan terjejas belum dapat dihubungi sejurus selepas kejadian.
Gempa kuat ini berlaku dua minggu selepas Filipina mengalami gempa paling dahsyat dalam tempoh lebih sedekad, yang mengorbankan 72 orang di pulau Cebu. Gempa terdahulu itu berukuran 6.9 magnitud dan turut berpusat di perairan luar pantai. Filipina terletak di atas “Lingkaran Api Pasifik” (Pacific Ring of Fire) dan mengalami lebih 800 gempa bumi setiap tahun.
