ecb-10

Goldman Sachs, Barclays, HSBC Jangka Kenaikan Kadar Faedah ECB Yang Lebih Kecil Pada Mei

Goldman Sachs dan dua bank lain menjangkakan Bank Pusat Eropah (ECB) akan mengumumkan kenaikan kadar faedah yang lebih kecil pada Mei berikutan tekanan dalam sektor perbankan dan inflasi teras yang tinggi.

Goldman sebelum ini menjangkakan ECB akan menaikkan 50 mata asas atau 0.5 peratus kadar faedah pada Mei yang kini turun kepada 0.25 peratus.

Perubahan tersebut diumumkan selepas ECB menaikkan 0.5 peratus kadar faedah kepada 3.00 peratus sebelum ini walaupun terdapat gesaan untuk kenaikan yang lebih kecil berikutan ketidaktentuan sektor perbankan.

Kemerosotan pasaran global yang dicetuskan oleh kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank, diburukkan lagi oleh keraguan mengenai masa depan First Republic Bank dan pemberi pinjaman Swiss Credit Suisse.

Hal ini telah menimbulkan persoalan sama ada bank-bank pusat akan meredakan kenaikan kadar mereka yang agresif.

“Kami percaya ECB berkemungkinan akan meneruskan kenaikan kadar selanjutnya walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran kewangan.

“Ini kerana risiko penularan sektor perbankan yang teruk masih kelihatan terhad dan inflasi teras berkemungkinan kekal kukuh dalam beberapa bulan akan datang,” kata ahli ekonomi Goldman Sachs yang diketuai oleh Sven Jari Stehn.

HSBC dan Barclays bank berkata ia mengekalkan unjuran kadar faedah ECB pada 3.5 peratus, tetapi kini menjangkakan bank pusat hanya akan mengumumkan dua kenaikan yang lebih kecil pada Mei dan Jun.

Para pemain pasaran melihat kadar ECB akan memuncak pada sekitar 3.23 peratus menjelang September atau Oktober.

Sementara itu, JP Morgan, Deutsche Bank dan Swedish Bank SEB menjangkakan ECB akan mengumumkan kenaikan 50 mata asas pada Mei namun memberi amaran tentang risiko penurunan pada ramalan mereka memandangkan volatiliti pasaran semasa dan inflasi kekal jauh di atas sasaran bank pusat.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *