Harga minyak jatuh pada hari Isnin, menghapuskan kenaikan sesi yang lalu berikutan pengeluar utama global berkemungkinan akan mengekalkan jumlah pengeluaran mereka semasa pertemuan pada minggu ini.
Selain itu, para pelabur juga dalam keadaan yang berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Federal Reserve yang mungkin mendorong turun naik dalam pasaran.
Setakat jam 3.50 petang, niaga hadapan minyak mentah Brent turun 50 sen, atau 0.6%, kepada $85.88 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate AS berada pada $79.16 setong, turun 52 sen, atau 0.65%.
Menteri dari Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu termasuk Rusia, yang dikenali secara kolektif sebagai OPEC+, dijangka tidak akan mengubah dasar pengeluaran minyak semasa mereka apabila mereka bertemu secara maya pada 1 Februari ini.
Namun, petunjuk bahawa akan berlakunya peningkatan dalam eksport minyak mentah dari pelabuhan Baltik Rusia pada awal Februari telah mendorong Brent dan WTI mencatatkan kerugian mingguan pertama mereka dalam tempoh tiga minggu.
“Tiada perubahan kepada keluaran OPEC+ dijangka diumumkan pada mesyuarat minggu ini dan kami menjangkakan ulasan tinjauan daripada Fed AS akan menjadi pemacu utama terhadap prospek dalam tempoh terdekat,” kata penganalisis National Australia Bank.
Menjelang mesyuarat dasar Fed yang dijadualkan bermula pada 31 Januari ini, pasaran secara amnya menjangkakan bahawa bank pusat akan mengurangkan kenaikan kadar kepada 25 mata asas (bps) daripada 50 bps yang diumumkan pada Disember.
Pengumuman itu berkemungkinan dapat meredakan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi yang akan mengekang permintaan bahan api dalam negara pengguna minyak terbesar dunia itu.