oil-barrel

Harga Minyak Naik, Ketegangan Politik Cetus Kebimbangan Terhadap Isu Bekalan

Harga minyak kembali mengukuh pada hari Selasa, memulihkan beberapa kerugian hari sebelumnya, apabila ketegangan yang semakin meningkat di Eropah Timur dan Timur Tengah mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan dalam pasaran.

Setakat jam 7.10 petang, pasaran hadapan minyak Brent naik 82 sen atau 0.96% kepada $86.28 setong manakala minyak WTI pula naik 72 sen atau 0.86% ke paras $84.03 setong.

Ekuiti global yang sering bergerak seiring dengan pasaran minyak bakal berdepan rekod kejatuhan bulanan terbesar sejak krisis pandemik menimpa pasaran pada Mac 2020.

Walau bagaimanapun, kedua-dua minyak WTI dan Brent, berjaya mencecah paras tertinggi tujuh tahun pada minggu lalu, dan kini menuju ke arah peningkatan bulanan melebihi 12%.

Menjelang keputusan dasar Fed di mana kenaikan kadar faedah mungkin menjejaskan harga, risiko geopolitik yang melibatkan pengeluar minyak dan gas Rusia dilihat terus menyokong harga minyak.

NATO semalam berkata mereka telah mempersiapkan pasukan dan memperkukuh Eropah timur dengan lebih banyak kapal dan jet pejuang, yang mana dikecam oleh Rusia dengan gelaran “histeria” Barat sebagai tindak balas ke atas pengumpulan tenteranya di sempadan Ukraine.

Di Timur Tengah, pergerakan Houthi Yaman, yang bersekutu dengan Iran, melancarkan serangan peluru berpandu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam, menyasarkan pangkalan yang menempatkan tentera AS.

Serangan itu bagaimanapun berjaya dihalang oleh pemintas Patriot yang dibina AS, kata pegawai AS dan UAE.

Kebimbangan terhadap isu bekalan turut meningkat apabila OPEC, Rusia dan pengeluar utama lain masih berusaha untuk mencapai sasaran peningkatan pengeluaran bulanannya sebanyak 400,000 tong sehari (bpd).

Inventori minyak AS yang lebih rendah juga memberikan sokongan kepada harga, dengan simpanan minyak mentah di Cushing di Oklahoma berpada pada tahap terendah untuk masa sepanjang tahun sejak 2012.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *