Highland Towers dalam perancangan untuk dirobohkan

Aina Julia
2 Min Read

Keputusan sama ada dua blok Highland Towers yang masih berdiri di Hulu Kelang, Selangor boleh dirobohkan dijangka akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi. Mahkamah Majistret Ampang dijadualkan menyampaikan keputusannya pada 25 Julai ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah memfailkan permohonan perintah mahkamah tahun lalu bagi membolehkan kerja-kerja perobohan dua blok yang telah lama terbiar itu diteruskan. Menurut Timbalan Presiden MPAJ, Hasrolnizam Shaari, pihak berkuasa tempatan perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diambil.

Tahun lalu, MPAJ memulakan proses perobohan selepas menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar kawasan terbabit. Ketika itu, Presiden MPAJ, Dr Ani Ahmad berkata notis akan dikeluarkan kepada pemilik hartanah supaya merobohkan struktur bangunan tersebut.

Kos anggaran untuk perobohan ketika itu dianggarkan antara RM6 juta hingga RM7 juta.

Pada Disember 1993, menara blok 1 Highland Towers runtuh atas kegagalan struktur.

Untuk rekod, pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Highland Towers telah runtuh, meragut 48 nyawa dalam tragedi perumahan paling buruk dalam sejarah negara. Penduduk dua blok yang masih kekal telah dipindahkan atas faktor keselamatan dan kawasan itu akhirnya ditinggalkan.

Pada tahun 2018, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Zuraida Kamaruddin mengumumkan kawasan berkenaan akan dijadikan taman rekreasi selepas perobohan, memandangkan tapak itu tidak sesuai untuk sebarang pembangunan. Namun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *