KDN haramkan tujuh buku kerana langgar akta mesin cetak dan penerbitan

Rio Boestamam
2 Min Read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan tujuh buah buku kerana didapati melanggar syarat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam satu kenyataan, KDN memaklumkan bahawa langkah pengharaman itu diambil bagi menghalang penyebaran fahaman, ideologi, atau gerakan yang boleh mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam, serta keharmonian sosial.

Pengharaman tersebut berkuat kuasa pada tarikh berlainan antara 15 hingga 17 April, 2025.

Tujuh buku yang diharamkan ialah:

  • Love, Theoretically oleh Ali Hazelwood
  • Tuan Ziyad: Forbidden Love oleh Bellesa
  • Darlingku Mr Cold Mafia oleh Nur Firsha Nadia Mohd Noor Kusairi
  • Mischievous Killer oleh Aira Syuhairah Noradzan
  • Suhuf Abraham
  • Kougar 2 oleh Shaz Johar
  • The American Roommate Experiment oleh Elena Armas

Kementerian menyatakan bahawa pengeluaran Perintah Larangan di bawah akta ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan yang diambil sebelum sebarang ancaman atau kemudaratan berlaku.

Di bawah Seksyen 7(1) akta berkenaan, sebarang aktiviti mencetak, mengimport, menghasilkan, memperbanyak, menerbit, menjual, mengedarkan, menyebarkan, atau memiliki mana-mana penerbitan yang disenaraikan adalah dilarang sama sekali.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8(1) terhadap individu yang memiliki bahan terlarang tersebut, dengan denda sehingga RM5,000.

Manakala di bawah Seksyen 8(2), individu yang mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual atau mengedar bahan-bahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

KDN menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan kawal selia dan penguatkuasaan, khususnya bagi mencegah penyebaran unsur-unsur, ideologi atau gerakan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *