Dunia kini berada di “zaman perindustrian baharu” pembuatan teknologi tenaga bersih yang akan meningkat tiga kali ganda nilainya menjelang 2030 dan mewujudkan berjuta-juta pekerjaan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) hari ini.
IEA dalam laporannya meramalkan bahawa pasaran global untuk teknologi pembuatan besar-besaran utama termasuk panel solar, turbin angin, bateri kenderaan elektrik, pam haba dan elektroliser untuk hidrogen akan bernilai sekitar AS$650 bilion (RM2.8 trilion) setahun menjelang akhir dekad ini.
Angka itu lebih tiga kali ganda lebih besar daripada paras semasa. Bagaimanapun, ia bergantung kepada negara yang melaksanakan sepenuhnya janji tenaga dan perubahan iklim mereka.
Agensi itu juga berkata pekerjaan berkaitan dalam pembuatan tenaga bersih akan meningkat lebih dua kali ganda daripada enam juta kepada hampir 14 juta menjelang 2030.
“Dunia tenaga berada di awal zaman perindustrian baharu – zaman pembuatan teknologi tenaga bersih,” jelas IEA.
Namun begitu, organisasi yang berpangkalan di Paris itu memberi amaran bahawa penumpuan pengekstrakan sumber dan pembuatan menimbulkan risiko kepada rantaian bekalan.
Tiga negara menyumbang 70 peratus daripada kapasiti pengeluaran untuk teknologi solar, angin, bateri, eletroliser dan pam haba, dengan China “dominan dalam kesemuanya”.
Republik Demokratik Congo menghasilkan lebih daripada 70 peratus kobalt dunia, dan tiga negara — Australia, Chile dan China — menyumbang lebih daripada 90 peratus daripada pengeluaran global litium, sumber utama untuk bateri kenderaan elektrik.
Ketegangan rantaian bekalan berisiko menjadikan peralihan tenaga lebih sukar dan mahal, tambah laporan itu.