Parti pemerintah Jepun memilih nasionalis konservatif Sanae Takaichi sebagai ketua baharu pada Sabtu, meletakkannya di landasan untuk menjadi perdana menteri wanita pertama negara itu. Ini satu perkembangan yang dijangka mengejutkan pelabur dan negara jiran.
Parti Liberal Demokratik (LDP), yang telah memerintah Jepun hampir sepanjang era pascaperang, memilih Takaichi, 64 tahun, bagi memulihkan semula kepercayaan rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan harga. Sentimen rakyat juga semakin tertarik kepada parti pembangkang yang menjanjikan rangsangan ekonomi serta kawalan terhadap kemasukan migran.
Parlimen dijangka mengadakan undian pada 15 Oktober untuk memilih pengganti Shigeru Ishiba, dan Takaichi dilihat sebagai calon pilihan utama kerana gabungan pemerintah mempunyai majoriti kerusi. Takaichi, satu-satunya calon wanita daripada lima pesaing LDP, menewaskan pencabar utamanya, Shinjiro Koizumi, 44 tahun, yang mewakili aliran lebih sederhana dan berhasrat menjadi pemimpin termuda moden Jepun.

Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keselamatan Ekonomi itu, yang terkenal dengan agenda fiskal bersifat pengembangan, mengambil alih parti dalam keadaan krisis. Beberapa parti lain termasuk Parti Demokratik untuk Rakyat yang berorientasikan pembangunan dan parti anti-imigran Sanseito. semakin menarik sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
Takaichi, yang menganggap Margaret Thatcher sebagai idolanya, menawarkan hala tuju perubahan yang lebih tegas berbanding Koizumi, dan berpotensi membawa kejutan besar kepada sistem sedia ada. Sebagai penyokong dasar “Abenomics” peninggalan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe yang menekankan perbelanjaan besar kerajaan dan dasar kewangan longgar, Takaichi pernah mengkritik langkah Bank of Japan menaikkan kadar faedah.
Pendekatan sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap beban hutang awam Jepun yang tinggi. Menurut penganalisis Naoya Hasegawa dari Okasan Securities, kemenangan Takaichi mengurangkan jangkaan bahawa Bank of Japan akan menaikkan kadar faedah bulan ini, yang sebelum ini dianggarkan berkemungkinan 60%.
