Lebih RM2 Billion aset berkaitan Allahyarham Tun Daim mahu dilucutkan oleh SPRM

Rio Boestamam
2 Min Read

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa aset-aset yang dikaitkan dengan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, termasuk milik keluarga dan proksinya, kini sedang melalui proses pelucuthakan harta dan dianggarkan bernilai berbilion ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata bahawa kira-kira RM2 bilion aset milik Daim telah dibekukan setakat ini.

“Jumlah itu mungkin lebih tinggi. Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dari Switzerland, United Kingdom dan beberapa negara lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim telah bermula sejak Februari 2023 dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.

“Walaupun beliau telah meninggal dunia, SPRM masih meneruskan usaha pelucuthakan harta dan meneliti aset-aset yang tidak diisytiharkan,” katanya.

Pada 29 Januari 2024, Daim telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta.

Menurut kertas pertuduhan, Daim didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi syarat notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009. Beliau didakwa tidak mengisytiharkan beberapa aset, termasuk satu akaun bank, tujuh kereta mewah, 38 syarikat serta 25 bidang tanah dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak.

Daim didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan/atau denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Daim diikat jamin sebanyak RM280,000 dengan seorang penjamin. Beliau telah meninggal dunia pada 13 November pada usia 86 tahun.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *