Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah mengeluarkan saman kepada 16 penumpang bas ekspres dan pelancongan kerana gagal memakai tali pinggang keledar dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan semalam.
Operasi tersebut memberi tumpuan kepada pematuhan peraturan pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan pemandu dan penumpang bas jarak jauh. Sebanyak 18 buah bas telah diperiksa, melibatkan 14 bas ekspres dan empat bas pelancongan.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, memaklumkan bahawa dua daripada individu yang melanggar peraturan tersebut berumur bawah 18 tahun dan hanya diberikan nasihat serta advokasi, manakala 16 penumpang dewasa masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM300.
Beliau berkata, anggota JPJ menyamar turut ditempatkan di dalam bas untuk memantau dan merakam kesalahan secara senyap, dan kompaun dikeluarkan berdasarkan bukti visual yang diperoleh.

“Penguatkuasaan kami tidak terhad kepada sekatan jalan raya atau pemeriksaan di terminal sahaja.
“Kami turut menjalankan operasi penyamaran di dalam bas. Jika didapati pemandu atau penumpang tidak memakai tali pinggang keledar dan ada bukti rakaman, kompaun akan dikeluarkan,” katanya kepada media selepas operasi yang dijalankan berhampiran Plaza Tol Alor Setar (Utara), Lebuhraya Utara-Selatan.
Stien menjelaskan bahawa penguatkuasaan dijalankan di bawah Peraturan Kenderaan Bermotor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan 2008).
Beliau menasihati penumpang supaya memaklumkan kepada pemandu sekiranya tali pinggang keledar tidak berfungsi sebelum perjalanan bermula.
Sejak 1 Januari 2020, pengusaha bas ekspres diwajibkan memastikan semua tempat duduk dilengkapi tali pinggang keledar yang berfungsi. Bagi bas yang dibina sebelum tahun 2020, mereka masih diberi tempoh untuk memasang tali pinggang keledar.
Bermula semalam, pemakaian tali pinggang keledar diwajibkan kepada semua pemandu dan penumpang bas ekspres dan pelancongan.