Jutawan di United Kingdom mula berhijrah keluar akibat reformasi cukai

Boboi CTC
4 Min Read

Buat pertama kali, United Kingdom (UK) kini menjadi negara tertinggi dalam senarai penghijrahan jutawan keluar. Pelbagai reformasi cukai yang diperkenalkan mendorong golongan kaya meninggalkan negara tersebut dalam jumlah yang semakin besar.

Golongan berpendapatan tinggi (HNWI) telah berdepan pelbagai tekanan cukai sejak kebelakangan ini. Antaranya termasuk perubahan kepada cukai keuntungan modal, cukai warisan, duti setem tambahan, dan yang paling ketara, penghapusan status bukan domisili (non-dom).

Sebahagian besar perubahan ini dilaksanakan di bawah pemerintahan kerajaan baharu Parti Buruh dan Canselor Rachel Reeves, namun kerajaan Konservatif sebelum ini juga telah mengenakan beban cukai melalui pembekuan ambang cukai serta pengurangan elaun keuntungan modal dan dividen.

Menurut Laporan Migrasi Kekayaan oleh firma penasihat Henley & Partners, UK dijangka kehilangan 16,500 jutawan pada tahun ini, satu jumlah yang melebihi dua kali ganda daripada aliran keluar bersih dari China (7,800 jutawan), yang berada di tempat kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Juerg Steffen, menyifatkan tahun 2025 sebagai detik penting kerana buat kali pertama dalam sedekad, negara Eropah mengetuai penghijrahan jutawan. Beliau berkata ini bukan semata-mata kerana perubahan cukai, tetapi juga persepsi bahawa peluang, kebebasan, dan kestabilan ekonomi lebih baik di tempat lain.

‘Inheritance Tax’ merupakan antara reformasi cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan negara itu.

Mengapa golongan kaya meninggalkan UK?
Walaupun status non-dom hanya akan ditamatkan sepenuhnya pada April 2025, beban cukai di UK telah pun mencapai tahap tertinggi dalam sejarah. Belanjawan 2024 memperkenalkan pelbagai reformasi cukai, termasuk cukai ke atas yuran sekolah swasta.

Prof Trevor Williams, bekas Ketua Ahli Ekonomi di Lloyds Bank, berkata ekonomi UK telah mencatatkan prestasi yang lemah dalam dekad lalu. Antara 10 negara terkaya dunia (W10), UK satu-satunya yang mengalami penurunan jumlah jutawan. Dimana ia turun 9% sejak 2014, berbanding peningkatan purata global 40%, dan lonjakan 78% di AS.

Selain cukai, Brexit turut menjadikan UK kurang menarik kepada pelabur kaya. UK kehilangan sebahagian operasi pasaran seperti Euroclear, dan juga menutup Program Pelabur Imigran Tier 1 pada 2022, berbeza dengan negara lain yang giat menarik pelabur kaya.

Negara-negara tumpuan penghijrah kaya

Beberapa negara kini menjadi tumpuan utama jutawan, antaranya:

  • UAE (termasuk Dubai): Jangkaan aliran masuk bersih 9,800 jutawan. Tiada cukai pendapatan dan gaya hidup mewah. Visa kediaman emas tersedia melalui pelaburan hartanah bernilai minimum AED 2 juta (sekitar USD 550,000).
  • AS: Menarik 7,500 jutawan, terutama ke Florida. Donald Trump memperkenalkan Kad Emas dengan kos USD 5 juta untuk kediaman.
  • Itali & Switzerland: Menawarkan skim pelaburan kediaman dengan kos yang agak rendah.
  • Montenegro: Peningkatan tertinggi (124%) dalam jutawan. Tidak perlu pelaburan minimum untuk kediaman selepas lima tahun.
  • Singapura, Kanada, Australia: Kekal popular kerana program pelaburan untuk kediaman atau kemasukan berdasarkan bakat profesional.

Patutkah golongan kaya kekal di UK?
Walaupun UK kini dilihat kurang menarik, ada pihak yang berpendapat ia masih stabil secara politik, berbanding AS. Pasaran hartanah mewah London juga masih dianggap sebagai “safe haven”.

Tom Bill dari Knight Frank mencadangkan kerajaan boleh memperkenangkan program seperti “visa pelabur UK”, seiring usaha Perbendaharaan untuk menarik pelaburan. Beliau menyatakan, “Jika AS boleh kenalkan Kad Emas, mengapa tidak UK?”

Kelonggaran peraturan mungkin dapat membantu menampung kekurangan hasil cukai akibat penghijrahan golongan kaya. Terutamanya apabila tekanan kewangan terhadap kerajaan semakin meningkat.

- Advertisement -
Ad image
Share This Article
Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *