Larangan ke atas warga asing membeli kediaman di Kanada berkuat kuasa semalam, bertujuan untuk menyediakan lebih banyak rumah kepada penduduk tempatan yang menghadapi masalah perumahan.
Beberapa pengecualian dalam akta itu masih membenarkan individu seperti pelarian dan penduduk tetap yang bukan warganegara membeli rumah.
Pada penghujung Disember, Kanada juga menjelaskan bahawa larangan itu hanya terpakai kepada kediaman di bandar dan bukan untuk hartanah rekreasi seperti kotej musim panas.
Langkah sementara dua tahun itu dicadangkan oleh Perdana Menteri Justin Trudeau semasa kempen pilihan raya 2021 apabila harga yang melambung tinggi menyebabkan pemilikan rumah di luar jangkauan kebanyakan rakyat Kanada.
“Keinginan rumah Kanada menarik pengaut untung berlebihan, syarikat kaya, dan pelabur asing,” kata Trudeu dalam rancangan pilihan rayanya pada masa itu.
“Ini membawa kepada masalah sebenar perumahan yang kurang digunakan dan kosong, spekulasi yang berleluasa, dan harga yang melambung tinggi. Rumah adalah untuk orang ramai, bukan pelabur,” tambahnya.
Berikutan kemenangan pilihan raya 2021, parti Liberal secara senyap-senyap memperkenalkan Akta Larangan Pembelian Harta Kediaman oleh Bukan Kanada.
Pasaran utama seperti Vancouver dan Toronto juga telah memperkenalkan cukai ke atas bukan pemastautin dan rumah-rumah kosong.
Menurut Persatuan Hartanah Kanada, harga purata rumah telah jatuh daripada paras tertinggi lebih daripada C$800,000 (AS$590,000) pada awal 2022 kepada hanya lebih C$630,000 (AS$465,000) bulan lepas.
Bagaimanapun, ramai pakar berkata larangan ke atas pembeli asing yang menyumbang kurang daripada lima peratus pemilikan rumah di Kanada itu, tidak akan memberi kesan yang diinginkan untuk menjadikan rumah lebih mampu milik.
Hal ini kerana Syarikat Gadai Janji dan Perumahan Kanada berkata dalam laporan Jun bahawa hampir 19 juta unit rumah akan diperlukan menjelang 2030.
Ini bermakna 5.8 juta rumah baharu mesti dibina, atau 3.5 juta lebih daripada yang dijangka dibina pada masa ini untuk memenuhi permintaan itu.