kartel-ayam-malaysia-e1703380594232

Kartel Ayam Malaysia Kaut Untung Tanpa Persaingan, Didenda RM415.5 juta

Membentuk kartel untuk mengaut keuntungan tanpa persaingan yang adil adalah satu tindakan sabotaj terhadap usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Memetik kes di mana lima syarikat didenda RM415.5 juta kerana menetapkan harga makanan ayam pada Jumaat lalu, Armizan berkata isu itu bukan sahaja mengenai anti-persaingan dan manipulasi pasaran tetapi juga kesannya terhadap kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata kartel itu, yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara, bersekongkol untuk menaikkan harga makanan ayam, yang merupakan 72% daripada kos pengeluaran ayam, mengakibatkan kenaikan harganya di pasaran.

“Kartel ini adalah yang terbesar [pernah dikesan] sejak penubuhan MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) pada 2011. Demi kepentingan rakyat, kerajaan melalui KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) dan MyCC akan mengambil langkah agresif. Ini berikutan cabaran yang lebih besar akan berlaku pada tahun hadapan apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

“Harga barangan akan terapung dan dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan. Kewujudan kartel yang memanipulasi pasaran untuk keuntungan maksimum industri adalah amat tidak wajar dan merugikan rakyat,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan bahawa MyCC telah mengenakan penalti hampir RM415.5 juta terhadap lima pengeluar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan membentuk kartel penetapan harga makanan ayam.

Armizan berkata, tahun depan, kementeriannya melalui MyCC akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras amalan kartel terutama dalam tiga sektor utama iaitu makanan, pertanian dan penipuan bidaan.

Ditanya mengenai tindakan terhadap kartel besar lain selepas ini, beliau berkata siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan.

“Saya tidak boleh mendedahkan butiran [kartel] kerana ia masih dalam siasatan, tetapi saya boleh katakan ia melibatkan usaha kita untuk memerangi amalan kartel dalam tiga sektor utama.

“Justeru, kami menggesa syarikat dan peniaga menjalankan perniagaan dengan penuh tanggungjawab, mengelakkan sebarang amalan yang boleh menggusarkan rakyat dan negara,” katanya.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *