Kerajaan berkemungkinan menjadi “sangat tidak popular” sekiranya menaikkan cukai terhadap 10 peratus golongan terkaya dan mengagihkan semula kekayaan kepada rakyat lain, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.
Walaupun Setiausaha Agung PKR itu mengakui bahawa pengagihan kekayaan seharusnya lebih adil dan cekap, beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakannya.
“Buat masa ini pun, apabila kita bercakap tentang subsidi petrol bersasar yang mungkin tidak melibatkan golongan T20, kita sudah mula mendengar keluhan.
“Malah cukai dividen dua peratus pun mendapat tentangan,” kata Fuziah, merujuk kepada pengenalan cukai ke atas pendapatan dividen tahunan melebihi RM100,000 dalam Belanjawan 2025.
Fuziah menjawab soalan mengenai strategi kerajaan menangani jurang ketidaksamaan kekayaan antara golongan T20 dan rakyat lain dalam sesi debat BBC World Questions semalam.
Pengacara Jonny Dymond menyatakan bahawa 10 peratus individu terkaya di Malaysia membawa pulang 40 peratus daripada pendapatan negara, dan bertanya sama ada kerajaan mempertimbangkan kenaikan cukai sebagai langkah pengagihan semula kekayaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menegaskan bahawa kerajaan masih belum memberikan definisi jelas mengenai kumpulan T15. Ia merupakan satu kategori baharu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 untuk mewakili 15 peratus isi rumah teratas di Malaysia.
Wan turut menekankan keperluan meningkatkan kemudahan pendidikan dan digital di kawasan luar bandar seperti kawasannya agar setara dengan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata kementeriannya sedang mengkaji potensi kesan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap barangan Malaysia yang memasuki negara itu.
Malaysia kini dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, namun rundingan sedang dijalankan. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia berusaha menurunkan kadar tersebut kepada tarif asas 10 peratus yang dikenakan ke atas semua rakan dagang AS.
Fuziah mengakui bahawa kehilangan pekerjaan mungkin berlaku sekiranya hubungan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (rakan dagang kedua terbesar negara) terjejas akibat tarif tinggi.
Beliau berkata kerajaan kini sedang meneroka pasaran baharu untuk mengurangkan kesan tarif tersebut sekiranya ia dikuatkuasakan pada Julai 2025.
Sementara itu, Tricia Yeoh, profesor amali di School of Politics and International Relations, Universiti Nottingham Malaysia, menggesa Malaysia agar terus mengamalkan pendekatan berkecuali secara strategik di tengah-tengah perang dagangan antara AS dan China yang semakin memuncak.
Beliau menegaskan bahawa AS merupakan pasaran eksport yang lebih besar bagi Malaysia berbanding China, dan berkata Malaysia harus memanfaatkan aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang ketara daripada negara itu dalam rundingan yang sedang berlangsung.