Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberi bayangan bahawa beliau mungkin akan meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas tamat penggal Parlimen sekarang dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ahli Parlimen dua penggal itu berkata beliau tidak mahu terus terlibat dalam budaya politik yang terserlah semasa pemilihan PKR pada bulan Mei, di mana beliau tewas jawatan Timbalan Presiden kepada Nurul Izzah Anwar. Rafizi turut melahirkan rasa pesimis terhadap keupayaan parti untuk menghapuskan budaya tersebut, walaupun beliau tidak menjelaskan secara terperinci apa yang dimaksudkan dengan “budaya itu”.
Ketika ditanya mengenai perancangannya sekiranya tidak dicalonkan semula di Pandan, Rafizi menjawab:
“Saya pun belum kata akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang. Saya tiada niat untuk turut serta buat masa ini … Sebenarnya saya belum buat keputusan sama ada nak bertanding atau tidak,” katanya menerusi podcast Yang Berhenti Menteri.
Namun begitu, Rafizi berkata beliau masih belum boleh meninggalkan parti kerana mandat sebagai Ahli Parlimen Pandan masih belum tamat.

“Ia seperti hubungan cinta, ada masa manis dan masa sukar. Tapi bila dah sampai ke tahap kita masing-masing dah berubah, dan dah tak serasi, lebih baik kedua-duanya berpisah.
“Tapi itu tak bermaksud kita lupakan semua yang indah sepanjang 27 tahun ini. Parti ini bukan milik individu yang baru menang saja. Ia milik semua, termasuk yang terlibat sejak 1998.
“Kalau saya boleh ubah budaya itu, bagus. Tapi saya rasa saya tak boleh. Jadi bila dah sampai tahap itu, kita perlu teruskan hidup masing-masing,” jelasnya.
Rafizi juga berkata kemungkinan tidak bertanding dalam PRU akan datang membuatkannya teruja, kerana tempoh berehat daripada politik antara Disember 2019 hingga Mac 2022 membolehkan beliau belajar banyak perkara baharu.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut berkongsi bahawa masih banyak ilmu yang ingin beliau pelajari dalam masa terdekat.