Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan antarabangsa menerusi penambahan lima perkhidmatan udara antarabangsa baharu pada Jun 2025.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata dua daripada laluan baharu itu diperkenalkan oleh rakan syarikat penerbangan baharu, sekali gus meningkatkan keterhubungan rentas sempadan dan akses serantau.
Cambodia Airways (KR) telah melancarkan penerbangan dua kali seminggu antara Phnom Penh dan PEN, manakala Juneyao Air (HO) memulakan operasi empat kali seminggu dari Shanghai ke KLIA, memperluas pilihan perjalanan bagi penumpang dari China dan rantau Asia Timur.

Selain itu, MAHB memaklumkan tiga lagi laluan baharu diperkenalkan oleh rakan penerbangan sedia ada, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran penerbangan Malaysia.
“Batik Air Malaysia memulakan penerbangan dua kali seminggu antara KLIA dan Dili, Timor-Leste; AirAsia Cambodia memperkenalkan laluan tiga kali seminggu menghubungkan KLIA ke Sihanoukville; dan AirAsia mula mengoperasikan penerbangan empat kali seminggu antara KLIA dan Darwin, Australia,” kata MAHB.
Sepanjang bulan Jun, MAHB termasuk asetnya di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISG) di Istanbul telah merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 12.7 juta.
“Daripada jumlah itu, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 68 peratus atau 8.5 juta pergerakan penumpang, yang merangkumi 4.2 juta penumpang antarabangsa dan 4.3 juta penumpang domestik. ISG pula mencatatkan 4.1 juta pergerakan penumpang keseluruhan, dengan 2.2 juta penumpang antarabangsa dan 1.9 juta penumpang domestik bagi bulan Jun,” jelas MAHB.
